Cara Mengurangkan Cukai Pendapatan Anda Sebelum 2021 Berakhir!

Cara Mengurangkan Cukai Pendapatan 2021
Share Artikel ini!

Setiap tahun, semua rakyat Malaysia yang menjana pendapatan harus membayar cukai pendapatan kepada kerajaan Malaysia. Pembayaran cukai ini memang tidak dapat dielakkan; namun, memang terdapat cara di mana kita boleh mengurangkan jumlah cukai pendapatan yang perlu dibayar, dan memaksimakan penggunaan duit sendiri pada masa yang sama. Bacalah artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut!

1. Masukkan duit simpanan anda ke dalam Skim Persaraan Swasta (PRS) ataupun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)

Setiap pembayar cukai layak mendapatkan pelepasan cukai sebanyak RM3000 ke atas duit yang dimasukkan ke dalam Skim Persaraan Swasta (ataupun Private Retirement Scheme, PRS). Skim ini adalah sejenis akaun simpanan yang dikhaskan untuk memegang duit yang akan digunakan selepas anda bersara. Atau, jika anda belum sempat merancang persaraan diri kerana masih menguruskan pendidikan anak anda, anda boleh juga memasukkan duit anda ke dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), iaitu sejenis akaun simpanan yang dikhaskan untuk memegang duit yang akan digunakan untuk kos pendidikan anak anda pada masa depan.

Jadi, jika anda mempunyai simpanan yang memang anda berniat untuk menyimpan untuk masa depan, simpanlah dalam skim begini yang layak mendapatkan pelepasan cukai supaya dapat mengurangkan jumlah cukai untuk 2021. Tambah lagi, semua duit yang dimasukkan ke dalam PRS atau SSPN akan menjana kadar bunga lebih daripada akaun simpanan biasa dalam bank. Jadi, anda dapat mengurangkan cukai pendapatan dan memaksimakan untung pada masa yang sama!

2. Minta majikan membayar bonus atau bayaran tambahan dengan cara lain

Cukai pendapatan dikenakan ke atas jumlah pendapatan yang diisytiharkan dalam borang EA, iaitu jumlah duit yang dibayar secara rasmi ke dalam akaun anda oleh majikan anda. Jika anda layak mendapatkan apa-apa bayaran tambahan ataupun bonus daripada majikan anda, anda mungkin boleh berbincang dengan majikan jika duit ekstra tersebut boleh dibayar dengan cara lain, iaitu dalam bentuk tunai ataupun ganjaran bukan wang. Ataupun, anda mungkin boleh minta bahawa duit bonus hanya dikeluarkan dalam bulan Januari, supaya ia tidak dikira dalam jumlah pendapatan tahun ini.

3. Maksimakan pelepasan cukai untuk duit derma

Jika anda memang memperuntukkan sejumlah duit untuk diderma setiap tahun, cuba semak laman web LHDN untuk memastikan bahawa penerima derma anda tersenarai di bawah pertubuhan yang layak mendapatkan pelepasan cukai. Dengan ini, anda dapat memastikan manfaat duit derma anda juga membawa ganjaran dalam bentuk pengurangan cukai pendapatan tahun ini. Pastikan anda menyimpan setiap resit yang diterima selepas anda menderma sebagai bukti akan pembayaran derma anda.

4. Semak senarai pelepasan cukai dan tuntut di mana boleh

Setiap tahun, LHDN mengeluarkan senarai pelepasan cukai yang boleh dituntut oleh individu dan pasangan. Semaklah senarai ini dan cuba tengok jika terdapat mana-mana kategori yang anda belum menuntut. Contohnya, jika anda memang ingin menggantikan telefon bimbit anda, anda boleh membeli telefon bimbit baru bulan ini dan mendapatkan pengecualian cukai di bawah kategori Gaya Hidup, iaitu “Komputer peribadi, telefon pintar, atau tablet untuk penggunaan peribadi”. Kategori ini boleh dituntut sebanyak RM2,500 dalam setahun. Anda boleh juga menuntut pembelian buku, peralatan sukan, ataupun langganan Internet di bawah kategori ini. Walaubagaimanapun, jika anda memang tiada niat untuk membeli barang ini, janganlah membocorkan bajet anda untuk mendapatkan pelepasan cukai ini. Fikir dulu sebelum beli – buat keputusan yang wajar.

Akhir sekali, ingatlah bahawa jika anda seseorang rakyat Malaysia yang membayar cukai, anda sebenarnya amat bertuah – terdapat ramai rakyat Malaysia yang telah bergelut tahun ini, dengan kesan COVID-19 dan pemburukan ekonomi. Ramai yang telah kehilangan kerja dan sumber pendapatan dan tidak lagi layak untuk membayar cukai sebab pendapatan mereka terlalu rendah. Jadi, kita rakyat Malaysia yang masih bekerja dan layak untuk membayar cukai patut bersyukur dan menunaikan tanggungjawab kita sebaik mungkin. Kita boleh cari cara-cara kecil untuk mengurangkan cukai pendapatan kita, tetapi akhirnya ia memang duit cukai kita yang amat penting untuk memperbaikkan ekonomi dan membantu mereka yang paling memerlukannya.


Share Artikel ini!

Kongsi Pendapat Anda

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>