Scam Panggilan Popular – Jangan Layan, Nanti Rugi!

Scam Panggilan Popular
Share Artikel ini!

Kebanyakan aktiviti scam di Malaysia kini dijalankan di atas talian, supaya scammer boleh menyamarkan identiti diri dengan mudah. Namun, terdapat juga ramai scam panggilan popular yang kini aktif dijalankan, dengan tujuannya untuk menakutkan orang supaya mereka mendedahkan informasi peribadi seperti nama penuh, nombor IC, PIN atau kata laluan, dan juga memaksa mereka membayar duit ke dalam akaun yang terpilih. Scam-scam panggilan biasanya dilakukan menggunakan nombor telefon pra-bayar yang senang digantikan, dan juga dengan menggunakan program yang boleh menyembunyikan nombor panggilan asal atau menukarnya menjadi nombor yang dikenali. Berikut adalah beberapa scam panggilan popular yang kerap dilihat di Malaysia – jika anda menerima panggilan begini, janganlah layan!

1. Panggilan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia

Dalam scam panggilan ini, scammer akan meminta nama penuh anda, lalu mendakwa bahawa sistem mereka menunjukkan bahawa terdapat sesuatu pakej di bawah nama anda yang telah tersangkut di Jabatan Kastam. Anda diminta membayar cukai untuk melepaskan barang tersebut – jika anda enggan bayar cukai tersebut, anda akan kena blacklist oleh semua bank dan akaun anda akan dibekukan. Walaupun anda menafikan pembelian/pemesanan pakej tersebut, mereka akan menegaskan bahawa pakej tersebut adalah di bawah nama anda, justeru ia memang tanggungjawab anda yang tidak dapat dielakkan. Dihadapi dengan taktik penakutan begini, ramai mangsa yang membayar sahaja jumlah yang diminta untuk menghilangkan masalah tersebut. Sebenarnya, scammer ini memang tiada apa-apa kuasa pun untuk blacklist nama anda dengan bank – jadi, jika anda menemui panggilan sebegini, letak sahaja telefon dan jangan buang masa dengan melayan scammer ini.

2. Panggilan daripada Mahkamah Tinggi Mengenai Waran Tangkap

Scam panggilan ini juga menggunakan taktik mengancam untuk meggalakkan anda membuat bayaran ke dalam akaun mereka. Scammer yang panggil mendakwa bahawa dia wakil Mahkamah Tinggi, dan telah mendapati bahawa terdapat waran tangkap yang dikeluarkan di atas nama dan nombor IC anda. Kadang-kala, mereka mungkin sudah mempunyai informasi nama dan IC anda, dan akan menggunakannya untuk meyakinkan anda bahawa mereka memang ada akses kepada rekod jenayah anda. Jika ditanyakan apa kesalahan anda yang mengakibatkan waran tangkap tersebut, mungkin mereka akan mencipta alasan ataupun jenayah palsu, dan memberi amaran kepada anda bahawa jika anda sendiri pergi ke balai polis, anda akan ditangkap terus dan dimasuki penjara. Mereka mendakwa bahawa mereka boleh membatalkan waran tangkap jika anda sudi membayar sesuatu caj kepada mereka. Mangsa yang takut kena tangkap akan membayar caj tersebut, dan memang waran tangkap itu akan hilang…kerana sebenarnya ia tidak wujud langsung dari permulaannya.

3. Panggilan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri

Scammer yang menggunakan taktik ini akan mendakwa bahawa mereka adalah wakil Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan sesuatu masalah telah dikesan dengan fail cukai anda. Mereka mungkin mendakwa bahawa anda sebenarnya berhutang beribu-ribu ringgit kepada LHDN, dan perlu menjalani siasatan dan membuktikan pendapatan anda daripada sesuatu tahun, biasanya tahun yang telah lama lalu (contohnya 4-5 tahun lepas). Jika anda disiasati dan terdapat apa-apa masalah yang dijumpai, anda mungkin boleh dikenakan caj penalti yang amat tinggi, yang ditambahkan kepada hutang anda yang kini sedia ada. Namun, jika anda mahu mengelakkan proses ini, anda diminta membayar sejumlah duit kepada akaun yang terpilih, dan hutang dan penyiasatan tersebut akan dihapuskan. Ramai orang yang kurang rajin menyimpan semua dokumen pada tahun-tahun yang lepas akan berasa khuatir dengan ancaman ini, dan mungkin lebih sudi untuk membayar sahaja caj tersebut daripada menghadapi penyiasatan cukai pendapatan yang lama dan membimbangkan.

4. Panggilan daripada bank anda

Scammer begini akan mendakwa diri sebagai wakil bank anda, dan mungkin akan kata bahawa terdapat aktiviti mencurigakan dalam penyata bank atau kad kredit anda yang perlu disiasati. Namun, untuk meneruskan penyiasatan tersebut, mereka akan meminta anda mengesahkan identiti anda terlebih dahulu. Mereka mungkin meminta nama pengguna dan kata laluan untuk login ke akaun online anda, ataupun meminta nombor kad kredit untuk mengesahkan ia kad yang betul. Ataupun, mereka mungkin meminta soalan lain yang boleh mendedahkan identiti anda dan membolehkan mereka menggodam ke dalam akaun anda, seperti alamat, nombor telefon, baki akaun, ataupun caj terakhir yang dijalankan ke atas kad anda. Scammer bank biasanya tidak terus meminta anda memindahkan wang kepada akaun mereka, namun mereka akan cuba mendapatkan informasi tertentu untuk mendapatkan akses kepada akaun bank dan kad kredit anda. Jika anda mengesyaki panggilan daripada bank ini adalah sesuatu scam, anda boleh meletak telefon dan panggil balik bank sebenar anda menggunakan nombor khidmat pelanggan bank dan mengesahkan jika betul-betul terdapat apa-apa masalah dengan akaun anda.

Setiap kali anda menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali, amalkan sifat mempertahankan diri dan gunakan akal untuk menyiasat identiti pemanggil dan juga kebenaran benda yang didakwa tersebut. Jika anda tidak yakin, letakkan sahaja telefon tersebut, dan panggil terus kepada pihak berkenaan (contohnya LHDN ataupun bank) untuk mengesahkan jika betul-betul ada masalah yang perlu ditangani. Jika tiada, tahniah! Anda telah berjaya melepaskan diri daripada perangkap scammer.

Sedang mencari sumber duit yang sah dan selamat? Carilah pinjaman peribadi dari syarikat pinjaman berlesen di iPinjaman Peribadi!


Share Artikel ini!

Kongsi Pendapat Anda

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>