Cara Bahagikan Duit Gaji Supaya Dapat Jimat Untuk Masa Depan

Cara Bahagikan Duit Gaji Supaya Dapat Jimat Untuk Masa Depan
Share Artikel ini!

Kebanyakan orang, ketika menerima duit gaji, akan masukkan sahaja duit tersebut ke dalam satu akaun bank. Kemudian, mereka akan berbelanja tanpa berfikir banyak sepanjang bulan, dan apa yang tinggal pada akhir bulan dikira sebagai “simpanan”. Kaedah menguruskan duit begini memang senang, tetapi akan menjadikan perancangan kewangan anda untuk masa depan amat sukar. Lama-lama, anda akan sedar bahawa baki bank anda tak naik-naik langsung, walaupun duit gaji anda masuk ke dalam bank setiap bulan.

Jadi, apakah kaedah yang paling best untuk membahagikan duit gaji anda supaya anda dapat jimat untuk masa depan?

Kaedah 20% + 50% + 30%

Mengikuti kaedah ini, anda mengira duit gaji bersih anda (jumlah yang betul-betul masuk bank anda, sudah ditolak EPF, cukai pendapatan, SOCSO, etc). Kemudian, anda membahagikan jumlah tersebut kepada 3 kategori mengikuti peratus di bawah:

 20% Tabung Simpanan

Ini adalah kategori yang pertama untuk diuruskan – anda dinasihatkan supaya membuka akaun simpanan yang khas untuk menyimpan wang untuk masa depan sahaja. Pada hari yang sama apabila gaji anda masuk, terus pindahkan 20% daripada jumlah gaji ke dalam akaun simpanan ini, dan lupakannya. Duit ini tidak patut disentuh langsung kecuali dalam masa yang betul-betul kecemasan. Lama-lama, anda akan melihat baki dalam akaun ini berkali ganda dan berasa puas hati dengan disiplin anda.

Contoh orang yang bergaji RM2000 sebulan: RM2000 x 0.2 = RM400 terus dimasukkan ke dalam akaun simpanan.

RM400 sebulan x 12 bulan = RM4800 setahun disimpan

 50% Hutang & Bil Tetap

Kemudian, menguntukkan 50% gaji untuk bil tetap dan bayaran hutang. Bil tetap termasuk bil elektrik, air, internet, telefon, dan sebagainya. Ia TIDAK termasuk bil kad kredit yang digunakan untuk pembelanjaan makan & minum di luar, hiburan, pakaian, dan sebagainya. Bil ini akan termasuk dalam kategori seterusnya.

Selain bil tetap, peruntukan 50% ini juga meliputi bayaran hutang, contohnya bayaran balik pinjaman peribadi, loan kereta/rumah, pinjaman niaga, dan sebagainya. Jadi, jika anda teringin memohon pinjaman peribadi, anda patut mengira jumlah bayaran bulanan hutang yang kini ada, termasuk bil-bil tetap bulanan, dan memastikan ia tidak melebihi 50% gaji bersih.

Contoh orang bergaji RM2000 sebulan: RM2000 x 0.5 = RM1000 had maksima untuk jumlah bayaran bulanan hutang & bil tetap.

 30% Pembelanjaan Semasa

Kategori last adalah 30% gaji bersih yang diperuntukkan untuk membiayai pembelanjaan hidup yang lain, seperti bahan dapur, pengangkutan (petrol/toll), hiburan, dan sebagainya. Inilah kategori yang anda perlu kawal dengan ketat, kerana jumlah ini boleh banyak berubah bulan ke bulan, dan senang dilampau jika suka belanja mengikuti nafsu sendiri. Untuk kawal pembelanjaan ini dengan lebih efektif, cuba mengeluarkan jumlah penuh dalam duit tunai dan bahagikan lagi untuk setiap kategori kecil, seperti bahan dapur, pengangkutan, hiburan, dan sebagainya. Dengan kaedah ini, anda dapat senang melihat baki dalam setiap kategori, dan tanya diri sendiri jika memang boleh mampu makan kat luar/beli baju baru/tonton wayang ini. Anda boleh juga memindahkan wang di antara kategori, contohnya bulan ini anda hendak beli baju baru, jadi anda kena kurangkan bajet belanja makan luar untuk mampu beli baju tersebut.

Dengan panduan ini, jom berusaha untuk membahagikan duit gaji kita untuk menjamin masa depan yang terang!


Share Artikel ini!

Kongsi Pendapat Anda

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>