Penggunaan kad kredit memang datang dengan risikonya – terdapat orang yang susah mengawal diri apabila menggunakan kad kredit untuk berbelanja. Namun, walaupun anda berusaha untuk mengamalkan tabiat pembelanjaan kad kredit yang berhati-hati dan bertanggungjawab, terdapat juga cara lain di mana kad kredit boleh mendatangkan risiko kepada status kewangan anda – iaitu melalui pencurian maklumat kad kredit. Dengan maklumat kad kredit anda, pencuri boleh menjalankan berbagai-bagai transaksi tanpa pengetahuan anda – dan anda mungkin tersangkut dengan hutang tersebut jika tidak dapat membuktikan bahawa maklumat anda telah dicuri. Untuk mengelakkan hal ini berlaku, ia amat penting untuk mengetahui bagaimana maklumat kad kredit anda boleh dicuri.
Cara 1: Pembocoran maklumat peribadi
Semua orang menjalankan transaksi di atas talian – melalui bank, platform membeli-belah, laman web syarikat untuk pembayaran bil dan seterusnya. Apabila kita memasukkan informasi kad kredit ke dalam sesuatu laman web, informasi tersebut disimpan dalam sesebuah database. Biasanya, syarikat yang memproses informasi kad kredit tersebut menggunakan banyak sistem sekuriti untuk melindungi maklumat anda – tapi terdapat juga kejadian pembocoran maklumat peribadi, dan inilah risikonya jika seseorang pencuri berjaya memperolehi maklumat tersebut dan menggunakannya untuk menjalankan transaksi sendiri. Jika terdapat mana-mana pengumuman bahawa sesuatu laman web yang anda pernah memasukkan maklumat kad kredit anda terdapat apa-apa pembocoran maklumat, memaklumkan bank anda dengan segera melalui email (supaya anda mempunyai rekod), dan pastikan anda menyemak baki kad kredit anda dari masa ke semasa untuk menangkap apa-apa transaksi mencurigakan sebelum ia terlalu lambat. Anda juga boleh mengaktifkan notifikasi mobile untuk setiap transaksi, supaya anda dapat tahu tentang setiap transaksi dengan serta-merta.
Cara 2: Pembaca mesin kad kredit
Terdapat peranti kecil yang pencuri boleh memasang berdekatan dengan mesin kad kredit untuk membaca maklumat kad kredit anda apabila anda melakukan sesuatu pembayaran. Contohnya, jika anda pergi ke sesuatu restoran untuk makan dan menggunakan kad kredit anda untuk membuat pembayaran, pembantu restoran yang memproses pembayaran anda mungkin boleh menggunakan peranti tersebut untuk mencuri maklumat anda apabila anda membuat bayaran. Untuk mengurangkan risiko ini, pastikan semua transaksi dilakukan di depan mata anda dan telitikan mesin kad kredit sebelum menggunakannya untuk mengesan apa-apa peranti tambahan yang mungkin dilekat ke atas mesin tersebut. Anda juga boleh mengamalkan tabiat menggunakan PIN daripada “wave” kerana PIN menambahkan satu lagi lapisan sekuriti yang sukar dibaca oleh peranti tersebut.
Cara 3: Email scam
Kebanyakan orang telahpun peka terhadap kewujudan email scam, namun ramai juga yang menjadi mangsa setiap hari. Scammer kini amat cekap dalam meniru reka bentuk email dan logo jenama sah – dan jika anda tertarik dengan tawaran yang diberi melalui email tersebut, anda mungkin klik link yang diberi dan membuat pembelian tanpa perasan pun bahawa ia bukan laman web yang sah. Dengan ini, pencuri berjaya mendapatkan maklumat kad kredit anda. Sentiasa semak balik URL website sah syarikat tersebut, dan bandingkannya kepada URL yang disambung kepada link dalam email tersebut. Jika terdapat apa-apa yang mencurigakan, jangan sesekali meneruskan transaksi tersebut.
Cara 4: Scam panggilan telefon
Scam telefon paling popular untuk mencuri maklumat kad kredit anda adalah panggilan daripada seseorang yang mewakili diri sebagai ejen bank, yang kononnya telah mengesan sesuatu masalah dengan kad kredit anda. Mereka akan meminta anda membaca nombor kad kredit anda untuk “pengesahan” dan dengan ini, dapat mengutip maklumat anda untuk penggunaan sendiri. Jangan sesekali memberi informasi kad kredit anda kepada sesiapa melalui panggilan telefon atau WhatsApp. Untuk menyemak kalau kad kredit anda betul-betul ada masalah, tamatkan panggilan dengan “ejen” tersebut, dan panggil bank anda sendiri melalui nombor di belakang kad anda.
Cara 5: Malware atau spyware
Terdapat juga program yang boleh digunakan untuk mencuri maklumat anda. Malware adalah kod program yang dimuat turun ke dalam alat peranti anda secara automatik jika anda melawati sesuatu laman web. Spyware pula dimasukkan ke dalam komputer awam (contohnya dalam cyber cafe / perpustakaan / kedai cetak) dan apabila anda menjalankan transaksi menggunakan komputer tersebut, kod ini boleh merekod maklumat anda. Untuk mengelakkan masalah ini, pastikan komputer peribadi anda dilengkapi dengan program antivirus yang bagus. Tambah lagi, jangan sesekali menjalankan transaksi menggunakan WiFi awam ataupun komputer awam – pastikan anda berada di rumah sendiri ataupun menggunakan internet line sendiri untuk mengelakkan orang lain mencuri maklumat anda di tempat awam.
Janganlah menjadi mangsa kepada pencuri maklumat kad kredit. Ambil tahu tentang 5 cara maklumat kad kredit anda boleh dicuri, dan lindungilah diri dan maklumat peribadi anda dengan cermat!
Anonymous
FauziBIN ARID
Daisy_D
Kad kredit perlu digunakan sebaiknya namun kena berhati-hati apabila menggunakan nya.