Tabiat Buruk Kad Kredit Yang Menjadi Tanda Amaran

Tabiat Buruk Kad Kredit
Share Artikel ini!

Kad kredit adalah kemudahan yang boleh melancarkan kebanyakan aktiviti pembelian dalam kehidupan kita, malah ia adalah alat yang perlu digunakan dengan berhati-hati. Kad kredit yang disalahgunakan boleh mendatangkan akibat yang serius, termasuk ketidakstabilan kepada status kewangan anda jika tidak terkawal. Terdapat beberapa tabiat buruk kad kredit yang menjadi tanda amaran bahawa status kewangan anda telah terjejas, dan anda patut menilai corak penggunaan kad kredit anda untuk membaikinya dengan serta merta.

1. Membayar baki minimum sahaja setiap bulan

Praktis membayar baki minimum sahaja adalah salah satu tanda bahawa anda sedang menyalahgunakan kad kredit anda. Walaupun pembayaran minimum ini akan membenarkan anda untuk terus menggunakan kad kredit tersebut (berbanding dengan pembatalan kad jika langsung tiada bayaran yang dibuat), anda sebenarnya aktif mengumpul hutang yang akan dikenakan faedah dan caj lewat. Sedikit sedikit lama lama jadi bukit – kumpulan hutang ini boleh melambung tinggi dalam masa yang singkat sahaja dan meninggalkan anda dengan hutang yang terlalu besar untuk ditangani. Praktis terbaik adalah untuk membayar terus segala baki setiap bulan supaya tiada yang tertunggak untuk dikenakan faedah tambahan.

2. Baki tertunggak meningkat setiap bulan

Jika anda mengamalkan praktis di (1), anda akan nampak baki tertunggak anda meningkat setiap bulan. Baki yang meningkat ini menandakan hutang anda yang makin berkembang, dan makin sukar diselesaikan. Walaupun anda membayar lebih daripada bayaran minimum setiap bulan, namun baki tertunggak anda masih meningkat setiap bulan, ini juga merupakan tanda amaran bahawa status kewangan berada dalam situasi yang bahaya, dan anda patut mengambil tindakan untuk membaikinya sebelum terlambat.

3. Belanja pada had maksimum setiap bulan

Had maksimum ditetapkan oleh bank sebagai agak-agak 2-3 kali ganda gaji bulanan anda. Jika anda kadang kala menggunakan kad anda untuk pembelanjaan besar, ini adalah amat normal dan tidak perlu dirisaukan. Namun, jika anda kerap mencapai had maksimum kad anda, ini adalah tanda bahawa anda sedang berbelanja lebih daripada kemampuan anda. Tambah lagi jika anda tidak mampu membayar baki kad anda dengan sepenuhnya setiap bulan – telitikanlah pembelanjaan anda dan laraskannya mengikut kemampuan anda.

4. Kerap mengambil pendahuluan wang tunai

Kad kredit anda juga boleh digunakan sebagai kad ATM – namun, duit yang dikeluarkan tidak diambil daripada akaun anda, malah ditambah kepada bil kad kredit anda yang boleh dikenakan faedah jika tidak dijelaskan setiap bulan. Penggunaan kad kredit untuk mengambil pendahuluan wang tunai juga dikenakan yuran kemudahan – jadi anda akan kehilangan duit setiap kali anda menggunakannya untuk mengeluarkan duit daripada ATM.

 5. Kad kredit anda dibatalkan oleh pihak bank

Jika anda kerap terpaksa memohon kad kredit baru kerana kad kredit anda sentiasa dibatalkan oleh pihak bank, ini adalah tanda amaran bahawa situasi kewangan anda tidak sesuai untuk penggunaan kad kredit. Berusahalah untuk memperbaiki status kewangan anda sebelum memohon lagi untuk kad kredit baru supaya anda boleh menggunakannya dengan cara yang memanfaatkan – bukan memudaratkan – pengurusan kewangan anda.

Jika anda seorang pengguna kad kredit, telitikanlah corak penggunaan anda untuk memastikan tiada tabiat buruk kad kredit yang menjadi tanda amaran bahawa status kewangan anda sedang terjejas. Jika terdapat tanda amaran yang dibincangkan dalam artikel ini, anda patut mempertimbangkan menghentikan penggunaan kad kredit anda untuk waktu sementara, dan hanya mengaktifkan kad anda semula selepas anda berasa lebih bersedia untuk menggunakan kad anda dengan lebih bertanggungjawab.

Jika anda sedang bergelut dengan hutang kad kredit yang besar, anda boleh mengambil pinjaman peribadi untuk menyatukan hutang anda dan mengelakkan caj lewat dan faedah lewat daripada bank yang boleh melambung tinggi. Pohonlah pinjaman peribadi hari ini untuk mengatasi hutang kad kredit anda dan mula semula dengan tabiat yang sihat untuk kestabilan kewangan anda!


Share Artikel ini!

Kongsi Pendapat Anda

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>