Hutang kad kredit adalah antara hutang yang paling senang untuk dikumpulkan, dan paling sukar untuk dilangsaikan. Aplikasi untuk kad kredit baru tidaklah susah – terdapat juga bank yang sudi menghantar kad kredit percuma dalam pos tanpa sebarang borang aplikasi pun! Tambah lagi, bayaran dengan menggunakan kad kredit kini menjadi lancar sangat dengan fungsi “wave”, sampai ramai orang tidak merasai pun pembelanjaan tersebut dan tidak sedar betapa banyak hutang yang dikumpulkan sehingga menerima penyata baki pada akhir bulan. Setelah anda terlepas satu sahaja bayaran, caj faedah dan caj lewat mula mengumpul, yang menjadikannya lebih susah lagi untuk menyelesaikan hutang tersebut. Jika anda telah mengumpulkan hutang ke atas beberapa kad kredit (ataupun satu kad kredit dengan hutang yang besar), anda mungkin patut mempertimbangkan penyatuan hutang sebagai cara terbaik untuk menangani hutang tersebut sebelum ia terlalu lambat.
Terdapat dua pilihan untuk penyatuan hutang: pinjaman peribadi ataupun pindahan baki. Dengan kaedah pinjaman peribadi, anda mengambil pinjaman peribadi sejumlah baki hutang aktif anda bawah semua kad kredit yang anda mempunyai. Anda membayar baki setiap hutang menggunakan duit pinjaman yang diterima, dan seterusnya anda hanya perlu membuat satu bayaran sahaja, iaitu kepada pihak yang memberi anda pinjaman peribadi tersebut. Dengan kaedah pindahan baki, anda membuka satu lagi kad kredit berfaedah rendah yang digunakan untuk membuat bayaran ke atas semua baki hutang kad kredit yang lain. Anda hanya perlu membayar bayaran bulanan untuk kad kredit baru itu sahaja setelah semua hutang lain diselesaikan.
Apakah perbezaan lain antara dua-dua kaedah penyatuan hutang ini? Marilah kita menelitikannya.
1. Pinjaman peribadi boleh dipohon daripada mana-mana pihak yang berlesen memberi pinjaman
Anda boleh memohon pinjaman peribadi daripada bank ataupun daripada syarikat kredit komuniti – ini memberikan anda lebih ramai pilihan dan kesempatan untuk mendapatkan kelulusan permohonan anda. Manakala pindahan baki pula hanya boleh dilaksanakan oleh bank yang sudi memberi anda kad kredit baru, yang boleh digunakan untuk membayar baki kad kredit yang lama.
2. Pinjaman peribadi menawarkan kadar faedah sederhana yang tetap, manakala pindahan baki menawarkan kadar faedah yang rendah dahulu, dan lebih tinggi kemudian
Terdapat pinjaman peribadi yang menawarkan kadar faedah serendah 3.99% setahun, dan setinggi 18% setahun. Manakala pindahan baki biasanya ada tawaran serendah 0% setahun untuk tempoh singkat tertentu, contohnya 3-6 bulan pertama, dan naik kepada 18% setahun selepas tempoh tersebut berakhir.
3. Pinjaman peribadi menawarkan tempoh yang berjangka lebih panjang dan fleksible
Tempoh pinjaman peribadi untuk penyatuan hutang biasanya antara 1-10 tahun, di mana tempoh tawaran pindahan baki biasanya dalam tempoh 3-12 bulan sahaja. Jika anda mempunyai jumlah hutang yang tinggi, anda mungkin memerlukan jangka yang lebih panjang untuk menyelesaikan hutang tersebut, jadi pinjaman peribadi mungkin pilihan yang lebih sesuai untuk anda.
4. Pinjaman peribadi memerlukan anda untuk membayar bayaran bulanan yang tetap, manakala pindahan baki menetapkan bayaran minima sebagai 5% jumlah baki.
Bayaran bulanan pinjaman peribadi dikira berdasarkan jumlah pinjaman, kadar faedah, dan tempoh pinjaman tersebut. Pindahan baki menetapkan bayaran minima setiap bulan sebagai 5% jumlah baki – jika baki anda besar, malah bayaran bulanan anda akan menjadi besar juga. Dengan pindahan baki, anda juga diberi pilihan untuk membayar lebih daripada minima setiap bulan untuk melangsaikan hutang dengan lebih cepat. Terdapat juga pinjaman peribadi yang menawarkan ciri ini, namun mungkin terdapat penalti bayaran awal jika hutang anda diselesaikan terlalu cepat.
Akhir kata, yang mana yang lebih sesuai untuk penyatuan hutang: pinjaman peribadi ataupun pindahan baki? Ia bergantung kepada jumlah baki hutang anda, dan kemampuan anda untuk membayar balik hutang tersebut. Pindahan baki sesuai untuk jumlah hutang yang kecil dan boleh diselesaikan dalam tempoh yang singkat, contohnya kurang daripada setahun. Manakala pinjaman peribadi lebih sesuai jika anda mempunyai hutang yang besar ataupun memerlukan masa yang lama untuk menyelesaikannya.
Jika anda sedang mencari pinjaman peribadi untuk penyatuan hutang anda, pohonlah daripada syarikat kredit komuniti yang berlesen dan terpecaya!
Daisy_D
Perlu ambil kira soal komitmen bulanan jika membuat penyatuan hutang.