Ketahui jenis-jenis scam!

jenis jenis scam
Share Artikel ini!

Perkembangan dunia masa kini seolah-olah memberi peluang dan jalan yang baharu kepada penipu (scammer) untuk menjalankan modus operandi mereka melalui pelbagai medium. Penipuan (scam) yang berlaku pula tidak mengira tempat, masa, mangsa dan pelakunya. Scammer dan mangsanya juga boleh jadi seseorang yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam masyarakat ataupun orang kebanyakan. Ringkasnya, mangsa dan pelakunya pula boleh jadi sesiapa sahaja tanpa disangka-sangka. Secara ammya, kegiatan scam ini ditakrifkan sebagai jenayah yang melibatkan penipuan wang ringgit dan harta benda. Justeru itu, posting ini adalah bertujuan untuk mengenal pasti beberapa jenis scam yang perlu kita ketahui supaya dengan sedikit ilmu yang dikongsikan dapat mengelakkan kita daripada menjadi mangsa scam. Antara jenis-jenis scam tersebut adalah seperti di bawah:

Jenis scam yang pertama ialah penyamaran sebagai pihak bank atau pihak berkuasa. Penyamaran ini kebiasaanya terjadi apabila scammer akan menghubungi mangsa dan sebagai contoh mereka akan menyamar sebagai pegawai Bank Negara dan menyatakan maklumat peribadi mangsa disalahguna oleh individu tertentu untuk memohon kad kredit. Kemudian scammer akan memberi nombor telefon kepada mangsa dan kononnya nombor itu dari bank negara dan menyuruh mangsa membuat laporan polis untuk menutup semua butiran peribadinya. Mangsa yang panik akan terus menghubungi nombor berkenaan, sedangkan nombor itu sebenarnya palsu. Mangsa akan diminta mendedahkan butiran peribadi dan maklumat perbankan, kononnya untuk menyelesaikan urusan penyalahgunaan maklumat peribadi mangsa. Mangsa diberi arahan menerusi telefon dan diminta membuat pemindahan wang ke akaun lain dan menukar nombor pin kad ATM serta dimaklumkan akaunnya dibekukan sementara siasatan dijalankan. Mangsa juga diberitahu supaya merahsiakan pindahan itu dan segala resit transaksi yang diterima juga perlu dihapuskan kerana berkemungkinan kejadian ini membabitkan orang dalam iaitu pihak bank. Apabila semua wang mangsa dipindahkan barulah mangsa sedar yang mereka sebenarnya sudah ditipu.

Jenis scam yang kedua ialah pemberian pinjaman wang yang tidak wujud. Scammer akan menjanjikan kepada mangsa dengan kelulusan yang mudah dan cepat. Mangsa juga diminta untuk membuat bayaran wang pendahuluan/pemprosesan yang tinggi. Penipuan seperti ini dikenal pasti menggunakan pelbagai medium media sosial untuk memperdayakan mangsa yang terdiri dalam kalangan peniaga atau individu dengan menawarkan pinjaman dengan kadar faedah yang kompetitif berbanding institusi kewangan berdaftar. Mangsa yang berminat kemudian diarah membuat bayaran wang proses terlebih dulu sebelum mendapat pinjaman yang dipohon. Namun, selepas pembayaran dibuat, penipu ini terus gagal dihubungi dan menyebabkan mangsa mengalami kerugian.

Selain itu juga, Sewa Akaun Bank / Kad ATM atau juga dikenali sebagai Mule Account juga adalah salah satu scam yang sering berlaku. Scammer akan memperdaya mangsa dengan bayaran caj tertentu untuk menyewa akaun bank mangsa, dan kemudian menggunakan akaun mangsa untuk tujuan haram termasuk penipuan dalam talian. Scammer menggunakan taktik dengan mengiklankan di pelbagai medium media sosial seperti Facebook dengan menyatakan mereka mencari individu yang mahu menyewakan akaun bank dan kad ATM bagi pengguna yang inginkan wang dengan segera. Mereka sanggup membayar di antara RM100-RM300 setiap minggu bagi mereka yang mempunyai akaun bank di Maybank, CIMB, Hong Leong, RHB dan Public Bank. Maka, mangsa yang benar-benar terdesak pasti akan menghubungi nombor scammer tersebut untuk menyewakan akaun mereka. Taktik menyewa akaun ini di mana scammer akan memberikan wang sewaan akaun untuk membolehkan scammer memperoleh duit yang berjuta dengan menjadikan akaun mangsa sebagai pengantara sebelum duit dipindahkan ke pihak ketiga yang agak susah untuk pihak berkuasa mengesannya. Maka, berhati-hatilah jangan kerana terdesak kita dijatuhkan hukuman atas kesalahan yang kita tidak buat kerana memberi sewaan akaun dan kad ATM adalah salah di sisi undang-undang iaitu menyembunyikan wang secara haram.

Jenis scam yang keempat ialah scam pelaburan haram. Kebiasaannya, scammer akan memujuk mangsa untuk melabur dengan jaminan pulangan pelaburan yang tinggi tanpa sebarang risiko. Taktik ini digunakan untuk menjerat dan merekrut pelabur baru. Mereka juga akan mengaku diri sebagai ‘pakar pelaburan’ dan mendakwa syarikat mereka mempunyai ‘rekod prestasi cemerlang’ dan memberikan testimonial daripada ‘pelanggan’ demi meyakinkan pelabur. Jangka hayat skim pelaburan ini bergantung kepada pengambilan pelabur baru. Dana yang diperoleh daripada pelabur baru akan digunakan untuk membayar dividen kepada pelabur sedia ada. Skim pelaburan ini akan gagal sekiranya tiada pelabur baru. Namun, pengendali skim pelaburan tidak sah ini akhirnya akan melarikan diri dengan wang yang dikumpul, apabila dia berasa suatu yang tidak kena akan terjadi, dan sekali gus menyebabkan pelabur mengalami kerugian.

Akhir sekali, scam yang paling popular sering terjadi ialah scam e-Dagang. Ini kerana pengguna kini gemar membeli secara dalam talian. Scammer akan mengiklankan barangan melalui platform E-Commerce (E-Dagang) dan menghubungi pembeli (mangsa) yang berminat sebelum diarahkan untuk berurusan secara terus dengan peniaga (scammer), namun barang yang dijanjikan dan di pesan tidak di terima setelah bayaran dibuat. Perkara ini membuatkan mangsa mengalami kerugian. Oleh itu, sebelum membuat sebarang transaksi dan jual beli, semaklah maklumat peniaga di Portal Semak Mule yang diperkenallkan oleh PDRM.

Sehubungan dengan itu, dengan mengenalpasti jenis-jenis scam, kita mungkin boleh menghindari diri kita daripada terkena tipu oleh scammer. Sentiasalah berhati-hati dengan tidak mendedahkan butian peribadi kita kepada sesiapa sahaja, sentiasa periksa dan dapatkan informasi terkini tentang ciri-ciri keselamatan yang baru. Semoga dengan perkongsian posting ini dapat memberi manfaat kepada semua.


Share Artikel ini!

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>