Kita semua sentiasa mencari cara menjana duit pendapatan tambahan. Mungkin daripada promosi / kenaikan gaji di tempat kerja, membuka perniagaan sampingan, ataupun daripada pelaburan masing-masing. Namun, pernahkah anda mengalami fenomena ini: gaji dah naik, tapi masih tak dapat membina tabung simpanan? Bagaimana pula fenomena ini boleh berlaku?
1. Inflasi dan Ketidakstabilan Ekonomi
Terutamanya kebelakangan ini, harga barang merentas semua sektor telah naik dengan kadar yang tinggi. Jadi, walaupun kita menjana pendapatan lebih, pembelanjaan juga naik sekaligus. Akibatnya, kita tidak dapat menikmati “kusyen kewangan” iaitu duit kelebihan setelah menolak semua pembelanjaan. Ia berasa seperti pendapatan tambahan tersebut tidak wujud langsung.
2. Inflasi Gaya Hidup
Selain inflasi ekonomi, tahukah anda bahawa kita boleh mengalami inflasi dalam gaya hidup diri sendiri? Maknanya, apabila anda bermula menjana pendapatan lebih, selera gaya hidup kita pun meningkat sekali. Kita mula makan di restoran yang lebih mahal, beli pakaian yang berjenama, menaik taraf elektronik seperti telefon bimbit dan komputer peribadi, dan seterusnya. Semua ini boleh menjadi tanpa kita sedar apa-apa pun. Akibatnya, pada akhir bulan, tabung pendapatan kita kosing jugak, kerana semua duit tambahan telah dibelanjakan.
3. Tidak Membina Dana Kecemasan
Jika anda telah hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, anda patut mengutamakan pembinaan dana kecemasan sebaik sahaja anda mula menjana pendapatan tambahan. Dana kecemasan ini adalah lain daripada tabung simpanan – anda patut membina dua-dua sekali supaya jika terdapat apa-apa kecemasan, anda boleh menanganinya tanpa menyentuh tabung simpanan anda pun. Kalau tidak, tabung simpanan anda akan asyik kekosongan jika setiap kali berlaku pembelanjaan yang tidak diramalkan (bil perubatan, membaiki kereta rosak, ahli keluarga memerlukan bantuan, dan sebagainya), anda asyik akan terpaksa mengeluarkannya daripada duit simpanan sahaja.
4. Gagal Mengubahsuai Bajet Bulanan
Pakar kewangan menasihatkan bahawa sebelum belanjakan apa-apa, kita patut memperuntukkan kadar peratus yang tetap daripada pendapatan kita sebagai duit simpanan. Bukan sejumlah Ringgit, malah kadar peratus. Contohnya, bertekad untuk memperuntukkan 20% daripada duit pendapatan sebagai simpanan. Jika gaji anda RM5000, anda akan menyimpan RM1000 dalam akaun. Kalau anda dapat promosi dan gaji naik sampai RM7000, anda patut menaikkan simpanan kepada RM1400 (20% daripada RM7000), bukan kekal sebagai RM1000. Tanpa langkah ini, perbezaan RM400 itu akan senang dibelanjakan tanpa sengaja, dan kadar tumbuhan akaun simpanan anda akan terjejas.
5. Kadar Hutang Yang Tinggi
Apabila pendapatan bulanan anda naik, anda juga boleh lebih senang layak untuk pinjaman kereta, pinjaman perumahan, dan pinjaman peribadi dengan jumlah yang lebih tinggi. Tambah juga, had kad kredit anda juga boleh dinaikkan. Hal ini mungkin menarik anda untuk membuat pembelian yang lebih besar, kerana sekarang anda layak di mana sebelum ini, anda tidak mungkin diluluskan untuk pembelian tersebut. Walaubagaimanapun, kita harus berhati-hati dengan membuka hutang, tak kira pinjaman ataupun kad kredit, kerana kalau kita tidak mampu untuk membayarnya dengan konsisten, kadar faedah, fee lambat, dan sebagainya boleh menjadi masalah yang besar yang lebih menjejaskan lagi kestabilan kewangan kita – dan menafikan segala perusahaan kita untuk memperoleh pendapatan lebih.
Jika anda dalam posisi untuk menjana pendapatan tambahan – tahniah! Sekarang, anda bertanggungjawab untuk menguruskan hal kewangan anda untuk menggunakan duit tambahan tersebut dengan cara yang paling berfaedah untuk anda. Harap-harap dengan penjelasan di atas, anda tidak akan mengalami fenomena gaji dah naik, tapi masih tak dapat membina tabung simpanan.