4 Sebab Kad Kredit TIDAK Sesuai Digunakan Sebagai Sumber Wang Kecemasan

Kad Kredit Kecemasan
Share Artikel ini!

Antara masalah yang boleh kita alami sebagai manusia, masalah kewangan merupakan cabaran yang paling kerap dihadapi. Masalah kewangan boleh menimpa sesiapa sahaja secara tiba-tiba, dan berpotensi mendatangkan kerumitan dalam segala aspek kehidupan kita. Apabila dihadapi masalah kewangan, memanglah kita akan cuba mencari mana-mana jalan yang boleh untuk mengatasinya secepat mungkin. Dalam situasi begini, ramai orang akan menganggap kad kredit sebagai jawapan ajaib, kerana kad kredit membolehkan kita “ambil dulu, bayar nanti”. Terdesak kena bayar bil kesihatan yang tinggi? Gunakan kad kredit dulu, risaukan bayaran kemudian. Perlukan duit tunai sekarang juga? Pergilah ke mesin ATM dan keluarkan duit dengan menggunakan servis “cash advance”. Namun, strategi begini memang tidak langsung menyelesaikan masalah kewangan anda. Tambah lagi, ia boleh menggandakan masalah yang anda bakal hadapi pada masa depan. Dalam artikel ini, kami membincangkan 4 sebab kad kredit tidak sesuai digunakan sebagai sumber wang kecemasan.

1. Caj Faedah Tinggi

Berbanding dengan menggunakan duit simpanan dan memohon Pinjaman Peribadi, bayaran dan faedah kad kredit boleh menjadi amat mahal, terutamanya jika dibayar lambat. Bergantung kepada kad kredit dan bagaimana anda menggunakannya, kredit anda boleh menelan kos beratus-ratus ringgit setahun.

Apabila anda menangguhkan bayaran kad kredit melebihi tempoh yang ditetapkan, kebanyakan bank akan mengenakan caj bayaran lambat. Caj yang dikenakan bergantung kepada bank, tetapi kebiasaannya sekitar 1% dari baki tertunggak, atau RM10, mana yang lebih tinggi. Caj tersebut walaupun kelihatan kecil, akan mengumpul bulan ke bulan, dan akhirnya akan menjadi sesuatu hutang yang amat sukar untuk dilangsaikan.

2. Merosakkan Skor Kredit Anda

Jika anda gagal membuat bayaran tepat masa ataupun membuka terlalu banyak kad kredit, ia akan memusnahkan skor kredit anda. Dengan ini, anda akan menjejaskan peluang anda untuk mendapatkan pinjaman. Permohonan pinjaman anda pada masa depan seperti pinjaman kereta dan pinjaman perumahan berkemungkinan tinggi bakal ditolak daripada bank atau institusi kewangan lain.

Jika anda mempunyai keperluan kewangan yang boleh ditunda untuk beberapa minggu, lebih baik anda memohon pinjaman peribadi. Anda boleh menyatukan hutang anda di bawah satu pinjaman untuk mencantikkan skor kredit berbanding dengan balik-balik mengenakan caj kepada kad kredit anda, ataupun membuka kad kredit baru untuk menambahkan hutang lagi.

3. Memupuk Tabiat Boros

Oleh kerana kad kredit adalah sekeping plastik, anda tidak merasakannya dengan cara yang sama ketika belanja berbanding dengan menggunakan tunai. Memang seronok berbelanja dengan kad kredit kerana anda boleh membeli sesuatu walaupun sebenarnya anda tidak mempunyai wang yang mencukupi pada masa pembelian itu. Kad kredit menjadikannya terlalu senang untuk berbelanja dan menutupi “lubang” kecemasan, sampai anda tidak terpaksa betul-betul memikirkan implikasi perbelanjaan kita pada saat itu juga. Jika anda tidak disiplin menggunakan credit kad, anda akan senang menjadi boros dan menambahkan lagi masalah kewangan yang ingin diselesaikan itu.

4. Disalahguna Oleh Orang Lain

Kes-kes penipuan kad kredit agak biasa pada hari-hari ini, dan tabiat membuka dan menyimpan ramai jenis kad kredit menjadikannya amat senang untuk kad anda disalahgunakan oleh orang lain. Jika kad kredit anda tercicir atau dicuri, anda mungkin tidak sedar sampai terlalu lambat, dan akhirnya anda akan bertanggungjawab bagi menyelesaikan hutang pencuri itu kerana anda gagal membatalkan kad anda lebih awal.

Mengambil pinjaman peribadi dengan syarikat yang sah berlesen dan mengikuti undang-undang Malaysia adalah pilihan lebih selamat dari segi sekuriti kewangan. Anda boleh meminjam jumlah yang diperlukan sahaja, dan anda boleh memahami dengan terus terang jumlah yang perlu dibayar balik setiap bulan tanpa merisaukan hutang kad kredit yang susah dikawal.


Share Artikel ini!

Kongsi Pendapat Anda

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>