Minggu lepas, kami berbincang tentang akibat buruk selalu terlupa membayar bil anda dengan tepat. Walaupun nampaknya kesilapan yang kecil sahaja, akibatnya boleh mendatangkan kesukaran serius kepada anda sekeluarga pada jangka masa panjang. Jika anda bertekad untuk memperbaiki sikap ini dan berusaha membayar bil tanpa kelewatan, artikel minggu ini mungkin boleh membantu anda dengan tips membayar bil bulanan dengan tepat.
1. Dalam minda anda, bawa tarikh akhir bayaran beberapa hari ke hadapan
Rekodkan setiap tarikh akhir bayaran bagi setiap bil bulanan/tahunan anda, dan pindahkan beberapa hari ke hadapan. Contohnya, jika bil kad kredit anda perlu dibayar sebelum 15 haribulan setiap bulan, rekodkan tarikh akhir bayaran sebagai 12 haribulan untuk memberikan diri anda beberapa hari untuk menguruskan duit untuk membayar bil tersebut. Jika anda hanya ingat bil tersebut pada tarikh akhir itu juga, anda mungkin tersangkut tanpa tunai yang mencukupi untuk melangsaikan bil tersebut dengan sepenuhnya.
2. Isikan setiap tarikh akhir bayaran ke dalam beberapa jenis kalendar
Seterusnya, isikan tarikh akhir bayaran ke dalam mana-mana kalendar yang anda mempunyai, contohnya kalendar telefon bimbit, komputer peribadi, buku nota, kalendar dinding/meja, kalendar Google, dan sebagainya. Bagi setiap kalendar digital, aktifkan notifikasi untuk mengingatkan diri untuk membayar bil hari itu. Jika boleh, tetapkan notifikasi pada masa yang berbeza supaya anda menerima peringatan sepanjang hari. Ini mungkin menjengkelkan, namun ia merupakan taktik efektif untuk menggalakkan diri membayar bil pada hari yang ditetapkan.
3. Tetapkan sistem auto debit untuk setiap bil yang layak
Jika anda tidak ingin menerima peringatan ulangan yang beramai, tetapkanlah sistem auto debit untuk bil yang layak. Anda boleh menghubungkan akaun bank dengan akaun anda dengan pemberi perkhidmatan, contohnya TNB untuk auto-debit bil elektrik, dan bank peribadi anda untuk membayar bil kad kredit secara automatik. Namun, anda perlu prihatin terhadap jumlah baki bank anda yang digunakan untuk auto debit itu – jangan sampai masa untuk membayar bil, tiada baki yang mencukupi. Jika kejadian ini berlaku, anda akan dikenakan penalti overdraf yang serius juga.
4. Pilih satu hari dalam setiap bulan untuk menyelesaikan semua bil sekali
Biasanya, setiap bil yang diterima akan memberi tempoh 2-4 minggu untuk anda membuat bayaran. Semak semua tarikh akhir bayaran bagi bil-bil anda, dan pilihlah satu hari dalam setiap bulan di mana anda boleh merujuk kepada bil-bil anda dan membuat bayaran untuk semuanya sekali. Kebanyakan orang memilih hari pertama setiap bulan; namun anda boleh memilih mana-mana hari yang berpatutan berdasarkan jenis dan tarikh bil anda sendiri. Dengan strategi ini, anda hanya perlu ingat satu hari setiap bulan – namun, anda juga perlu berdisiplin untuk memastikan duit simpanan anda mencukupi untuk melitupi jumlah semua bil sekali.
5. Pohon pinjaman peribadi untuk “reset” status semua bil anda
Jika anda telah lama tertinggal dengan pembayaran bil dengan akumulasi caj lewat, faedah tinggi, dan bil tertunggak, anda boleh mempertimbangkan mengambil pinjaman peribadi untuk menyelesaikan semua bil lewat anda untuk “reset” status semasa bil anda. Setelah melakukan ini, anda boleh bermula lagi dengan sistem dan disiplin untuk memastikan anda akan membayar setiap bil (termasuk bayaran pinjaman) dengan tepat.