Penggunaan kad kredit terdapat ramai manfaatnya, jika digunakan dengan betul. Pada zaman digital ini, terdapat ramai kemudahan yang menjadikan ianya lebih senang lagi untuk anda berbelanja, seperti pembelian online, “pay wave”, sambungan kad ke dalam app, dan sebagainya. Namun, kemudahan ini juga menjadikan ia lebih senang untuk orang yang berniat buruk untuk mencuri informasi anda, dan menyalahgunakan kad kredit anda dalam scam yang boleh mengakibatkan anda kehilangan wang beribu. Berikut adalah tips keselamatan apabila menggunakan kad kredit, supaya anda boleh mencegah daripada menjadi mangsa kepada pencuri dan scammer.
Pasangkan notifikasi untuk setiap pembelanjaan
Apabila anda menjalankan transaksi dengan menggunakan kad kredit anda, anda ada pilihan untuk menerima notifikasi melalui SMS ataupun emel dengan butiran transaksi tersebut. Kebanyakan bank membolehkan anda memilih had pembelanjaan untuk menjana notifikasi ini, contohnya untuk setiap pembelanjaan melebihi RM100, anda akan menerima notifikasi, manakala jika jumlah transaksi adalah lebih kecil, tiada notifikasi yang dikeluarkan. Namun, untuk keselamatan optima kad kredit anda, pasangkan notifikasi melalui SMS untuk setiap transaksi, tanpa kira jumlah. Jadi, jika kad anda digunakan tanpa izin anda, anda akan mengetahuinya serta-merta dan boleh mengambil tindakan untuk melaporkan penggunaan tersebut kepada bank.
Selalu pilih PIN, bukan pay wave
Dengan kemudahan pay wave, anda boleh menyentuh sahaja kad anda kepada mesin kad untuk melengkapkan transaksi anda – tiada PIN, tandatangan, ataupun langkah keselamatan lain yang perlu diambil. Kemudahan ini memang menjadikan ia amat cepat dan senang untuk membayar, namun, terdapat risikonya juga. Jika pilihan pay wave dibenarkan pada settings kad anda, pencuri hanya perlu mencuri kad anda untuk menggunakannya, malah dengan pilihan pembayaran PIN, pencuri perlu ketahui PIN anda juga sebelum berbelanja. Jadi, lebih baik untuk menghubungi bank anda untuk menghentikan pilihan pay wave pada kad anda, supaya segala transaksi perlu dijalankan menggunakan PIN sahaja. Mungkin settings begini akan melambatkan sedikit setiap transaksi anda, namun ia berbaloi untuk keselamatan anda.
Kaji bil kad kredit dengan teliti sebelum bayar
Sesetengah orang, setelah menerima bil kad kredit, akan melihat jumlah bil dan bayar sahaja tanpa menelitikan senarai caj yang dikenakan. Ini bukan tindakan yang bijak, kerana ada juga pencuri kad kredit yang menggunakan informasi kad anda untuk berbelanja sedikit-sedikit atas jangka masa yang lama. Caj kecil begini mungkin lebih susah untuk dikesan (berbanding dengan pencuri yang terus menggunakan kad kredit anda untuk membeli barangan berharga RM10,000). Dan, jika lambat dikesan, anda boleh lama-lama kehilangan jumlah duit yang banyak tanpa menyedarinya. Jadi, selalu menelitikan bil anda, dan jika terdapat apa-apa transaksi yang tidak dikenali, laporkan terus kepada bank supaya anda boleh menggantikan kad anda sebelum pencuri tersebut sempat berbelanja lagi.
Pastikan telefon bimbit dikunci dengan selamat
Kini, setiap app yang kita gunakan boleh dihubungkan kepada kad kredit untuk memudahkan proses pembayaran. App seperti Grab, Food Panda, Lazada, Fave, dan sebagainya semua meminta anda menambahkan informasi kad anda, supaya anda boleh membayar dengan satu klik sahaja. Kaedah ini memang cepat dan mudah; namun, jika pencuri berjaya menggodam telefon bimbit anda, semua akaun anda pun terjejas. Senario paling baik adalah untuk log keluar setiap app setelah menggunanya, supaya kata laluan perlu diisi untuk log masuk app tersebut dan akses kaedah pembayaran yang telah diselenggarakan. Paling minima, anda perlu mengunci telefon bimbit anda dengan selamat, dengan menggunakan kata laluan, PIN, ataupun keselamatan biometrik seperti cap jari atau imbasan retina untuk memastikan ia amat susah untuk membuka telefon anda dan mengakses app anda.
Gunakan dompet RFID
Jika pay wave dibenarkan bagi settings kad anda, pencuri mungkin boleh menggunakan mesin bacaan data untuk “membaca” kad anda dengan proses yang sama seperti bayaran dengan pay wave. Data ini boleh ditiru untuk bayaran lain pada masa depan tanpa perlu mencuri kad anda pun. Jadi, anda boleh melindungi kad anda dengan menggunakan dompet RFID yang direka untuk menghalang bacaan data bagi kad-kad yang disimpan dalam dompet tersebut.
Dengan penggunaan kad kredit yang cermat, anda boleh menikmati manfaat menggunakan kad kredit tanpa merisaukan tindakan pencuri dan scammer. Ikutilah tips keselamatan apabila menggunakan kad kredit anda dan berbelanja dengan hati riang hari ini!
Nak ketahui lagi lanjut tentang melindungi diri daripada scam? Bacalah artikel kami tentang scam-scam yang paling popular di Malaysia!
Addih bin mandusi
Sy mhu kad kesalatan kad