Dengan keadaan ekonomi yang tak tentu kebelakangan ini, terdapat ramai orang yang kini tidak bergaji tetap setiap bulan. Mungkin mereka kehilangan pekerjaan dan terpaksa bekerja “freelance” di mana boleh. Ataupun, mungkin mereka tidak berpeluang bekerja di luar kerana sekolah tertutup dan tiada orang untuk menjaga anak di rumah. Ataupun, mungkin mereka ada idea untuk perniagaan yang boleh berjaya, tetapi memerlukan masa untuk mengembangkannya. Apa jua sebabnya, jumlah orang yang tidak bergaji tetap sedang meningkat di masyarakat kita. Orang yang tidak bergaji tetap mungkin memerlukan bantuan kewangan untuk menampung perbelanjaan sehingga menerima bayaran daripada pelanggan ataupun sehingga dapat mencari pekerjaan seterusnya. Namun, malangnya, golongan yang tidak bergaji tetap ini merupakan golongan yang paling susah untuk mendapatkan pinjaman yang diperlukan. Syarikat pinjaman biasanya khuatir menawarkan pinjaman kepada pemohon tanpa gaji tetap kerana takut bahawa peminjam tidak berdaya membuat pembayaran balik secara mantap. Jika peminjam mendakwa tiada duit untuk membayar balik hutang, susah juga untuk syarikat pinjaman untuk mengesahkannya dan mengutip hutang tanpa membazirkan masa, duit, dan tenaga. Jadi, apakah penyelesaiannya? Berikut adalah 3 strategi untuk pemohon pinjaman tanpa gaji tetap.
Pohon pinjaman bersama dengan penjamin yang bergaji tetap
Walaupun anda mungkin tidak dikira sebagai calon baik untuk pinjaman, anda boleh meningkatkan kemungkinan berjaya mendapatkan pinjaman dengan memohon bersama dengan penjamin yang bergaji tetap. Contohnya, anda mungkin berniaga sendiri dan tidak bergaji tetap, malah kakak anda bekerja sebagai IT admin dan bergaji bulanan. Anda boleh (dengan persetujuan kakak anda) memohon pinjaman di atas nama anda dengan menggunakan kakak anda sebagai penjamin. Maknanya, jika anda gagal membayar hutang, penjamin anda akan bertanggungjawab untuk menyelesaikan hutang tersebut atas pihak anda.
Fahamilah bahawa risiko seseorang menjadi penjamin ini adalah amat tinggi. Jadi, hanya pertimbangkan pilihan penjamin ini jika anda betul-betul yakin dapat membayar hutang anda dengan sepenuhnya. Tambah lagi, hanya pilih orang yang anda mempercayai, dan juga yang mempercayai anda, untuk menjadi penjamin anda.
Pilih pinjaman bercagar
Jika anda mempunyai harta yang boleh berfungsi sebagai cagaran, contohnya rumah ataupun premis runcit, anda mungkin layak untuk mengambil pinjaman bercagar. Dengan pinjaman bercagar, harta anda ditawarkan sebagai cagaran, iaitu tanda keyakinan anda bahawa anda boleh membayar balik hutang seperti dijanjikan. Jika anda gagal membayar balik hutang, harta anda boleh dirampas dan dijual untuk mendapatkan duit untuk menyelesaikan hutang anda. Sama seperti pinjaman dengan penjamin, anda patut menggunakan cagaran seperti tanda keyakinan bahawa anda berdaya membayar balik pinjaman tersebut. Jangan sesekali mengambil pinjaman bercagar jika anda tidak pasti. Risiko bahawa anda boleh kehilangan tempat berteduh ataupun berniaga adalah amat tinggi, jadi hanya ambil pinjaman bercagar setelah mempertimbangkannya dengan teliti. Pinjaman bercagar juga biasanya digunakan untuk jumlah pinjaman yang tinggi (contohnya berpuluh ke beratus ribu), jadi jika anda hanya mencari pinjaman berjumlah kecil, pilihan ini mungkin tidak beberapa sesuai untuk anda.
Cari pekerjaan sampingan dengan bayaran gaji yang tetap
Orang yang ingin memohon pinjaman tanpa gaji tetap juga boleh mempertimbangkan mendapatkan pekerjaan sampingan yang membayar gaji tetap setiap bulan. Dengan kebanyakan syarikat kini lebih menggunakan proses digital, anda mungkin boleh mencari sumber gaji yang tetap yang boleh dilaksanakan dari rumah anda. Contohnya, menjadi ejen “cold call”, kemasukan data, pembantu mengajar, dan sebagainya. Walaupun kerja separuh masa, dan tidak bergaji tinggi, anda boleh menggunakan data kemasukan gaji ke dalam akaun bank anda setiap bulan sebagai bukti status kewangan anda yang lebih stabil, dan mungkin meningkatkan kemungkinan anda berjaya mendapatkan pinjaman yang diperlukan. Jika anda tidak berjaya mendapatkan pinjaman dengan serta-merta, anda masih berjaya mendapatkan sumber pendapatan bulanan yang anda boleh menggunakan untuk apa-apa sahaja!
Jika anda merupakan seseorang yang sedang mencari pinjaman tanpa gaji tetap, anda bolehlah cuba mana-mana daripada 3 strategi di atas untuk mendapatkan pinjaman yang diperlukan. Semoga berjaya, dan jangan lupa mencari pinjaman daripada syarikat kredit komuniti yang sah berlesen dan terpercaya sahaja!