Dengan gaji yang terhad, apakah yang patut kita buat dengan wang kita – nak bayar hutang atau simpan untuk masa depan? Dua-dua pun penting, yang mana yang patut didahulukan? Walaupun mempunyai akaun simpanan adalah amat diperlukan untuk merancang masa depan, membebaskan diri daripada hutang pun merupakan strategi yang berkesan untuk mencapai kedudukan kewangan jangka panjang yang stabil.
1. Bina dana kecemasan secepat mungkin
Binaan dana kecemasan adalah langkah pertama yang perlu diambil sebelum berusaha melangsaikan apa-apa hutang dan menjimat untuk masa depan. Dana kecemasan merujuk kepada wang yang disimpan untuk digunakan ketika anda betul-betul memerlukannya – contohnya jika berlaku kehilangan pekerjaan, kemalangan, ataupun kerosakan kenderaan ataupun rumah dan sebagainya.
Tindakan ini mengambil prioriti atas melangsaikan hutSeletang secepat mungkin, kerana jika anda tiada dana kecemasan, apakah yang akan berlaku jika betul-betul ada kecemasan? Anda akan terpaksa mengambil hutang lagi – dan kitaran ini akan bermula sekali lagi.
Namun, ini bukan bermakna anda boleh langsung mengabaikan hutang anda sehingga dana kecemasan siap dibina. Anda perlu juga bayar hutang sebanyak yang mampu, untuk mengelakkan yuran lewat ataupun kadar faedah yang lebih tinggi.
2. Langsaikan hutang anda
Setelah membina dana kecemasan yang mencukupi, anda bolehlah bermula untuk melangsaikan hutang yang sedia ada. Pada tahap ini, jangan lagi risaukan simpanan untuk masa depan – contohnya, idaman untuk mengubahsuai rumah, pergi melancong, ataupun membeli kereta baru. Keutamaan anda adalah untuk melangsaikan hutang supaya dapat jimat dari segi faedah dan juga membawa kelegaan dan kebebasan mental kepada diri sendiri.
Jadi, hutang mana yang patut dilangsaikan terlebih dahulu? Hutang dengan kadar faedah yang paling tinggi patut dibayar terlebih dahulu – contohnya hutang kad kredit, pinjaman kereta, dan pinjaman peribadi. Biasanya, pinjaman perumahan dan pendidikan boleh diberi keutamaan yang lebih rendah kerana mempunyai kadar faedah yang kurang. Jika anda mampu, bayarlah lebih daripada bayaran bulanan yang ditetapkan oleh pemberi pinjaman – contohnya, jika anda diminta membayar RM500 setiap bulan, bayarlah RM600 atau lebih jika mampu. Dengan ini, anda boleh mengurangkan jumlah faedah yang perlu dibayar, dan juga meringkaskan tempoh pinjaman supaya anda dapat menikmati kebebasan daripada hutang dalam masa yang lebih singkat.
3. Fokus pada masa depan
Setelah menjelaskan semua hutang yang sedia ada, anda bolehlah memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan kadar simpanan anda. Ketepikan sejumlah wang setiap bulan untuk dimasukkan ke dalam akaun simpanan anda. Lebih baik lagi, jika majikan anda membenarkan pemotongan gaji secara automatik, masukkan sebahagian gaji anda terus ke dalam akaun simpanan supaya anda boleh membina simpanan tanpa sedar pun.
Akhir sekali, setelah anda telah membina dana kecemasan, melangsaikan semua hutang, dan mencipta proses simpanan yang stabil, anda bolehlah menjejaki dunia pelaburan untuk menggunakan duit yang sedia ada untuk menjana duit tambahan. Produk pelaburan yang dipilih bergantung kepada objektif pelaburan dan toleransi risiko anda. Sentiasa mengawasi pelaburan anda untuk memastikan ia masih menjana keputusan yang diingini.
Jadi, yang mana yang lebih penting – bayar hutang atau simpan untuk masa depan? Asalkan dana kecemasan telah dibina, bayaran hutang patut diutamakan atas simpanan untuk masa depan. Selalunya, kita perlu melakukan perubahan kepada cara hidup bagi mencapai keseimbangan di antara ketiga-tiga perkara yang disebut tadi. Ia bukannya sesuatu yang mudah, namun amat penting untuk kestabilan kewangan pada masa depan.