Sebagai konsumer yang bijak, kita biasanya digalakkan untuk berfikir secara kritikal sebelum membuat apa-apa keputusan. Konsumer bijak tidak mudah terpedaya oleh helah-helah yang kerap digunakan oleh jurujual untuk mendapatkan jualan cepat, seperti janjian mewah, terma & syarat tersembunyi, pujukan manis dan sebagainya. Jadi, apabila seseorang konsumer menunjukkan kebolehan untuk berfikir secara kritikal, seseorang jurujual yang tamak duit mungkin akan menggunakan taktik ancaman untuk menakutkan konsumer supaya mengambil tindakan yang dihendaki.
Dalam cerita minggu ini dalam series Cerita Benar Scam pinjaman peribadi IPP, orang yang memohon pinjaman telahpun berfikir secara kritikal dan menyedari bahawa jumlah deposit yang diminta itu memang tidak wajar bagi jumlah pinjaman yang dipohon. Ejen pinjaman pun tukar taktik untuk mengancam pemohon dengan tuduhan palsu dengan harap pemohon tersebut akan berasa takut sehingga bayar jumlah yang diminta dengan sepenuhnya.
*Video ini dilakonkan semula berdasarkan kisah benar individu.
Berikut adalah ceritanya:
“Tahun lepas I ada dapat mesej kat Whatsapp, kata ada tawaran pinjaman istimewa, 0% faedah untuk tiga bulan pertama. Kebetulan tu memang I sedang fikirkan dapatkan pinjaman, so I apply je lah. Pohon RM2k untuk tempoh 6 bulan. Dah submit semua dokumen, diorang kata approve. Tapi, kena buka akaun pinjaman baru so kena bayar RM1000 untuk jadikan baki minimum dalam akaun tu. I pun call ejen diorang, kata I nak pinjam RM2k, kau mintak RM1k tu wajarkah aku boleh bayar? Ejen tu kata ok takpe, aku boleh bayar RM500 je dulu, nanti baki dia discuss dengan boss dia macam mana nak settle. Yang RM500 yang aku bayar tu boleh digunakan sebagai bayaran 2 bulan pertama.
So aku transfer RM500 tu. Tak berapa lama lagi ejen lain pula call aku balik, kata aku kena juga bayar baki RM500 tu. Katanya sekarang aku dah jadikan sistem syarikat tu ada banyak masalah, sepatutnya masuk RM1000 tapi hanya masuk RM500. Aku kata ejen pertama tu dah agree aku bayar separuh sahaja. Tapi dia kata ejen tu menafikan semua, kata dia dah beritahu aku kena bayar dengan sepenuhnya. Sekarang sistem semua ada masalah, aku kena bayar kerana aku yang jadikan sistem tu rosak. Kata kalau tak bayar, nanti kena tindakan mahkamah. Aku tutup je call tu dan block nombor dia. Rugi RM500 tapi akhirnya lebih baik juga jangan ada apa-apa urusan dengan syarikat yang tiada integriti macam ni.”
Apakah yang boleh kita pelajari daripada cerita di atas? Pertama, kita selalu perlu mempertimbangkan segala butiran perjanjian pinjaman dengan betul, dan mempersoalkan terma yang tidak wajar. Seterusnya, jika ejen mula menggunakan taktik yang tidak betul seperti menuduh palsu, mengancam, ataupun menekan, inilah tanda jelas bahawa mereka lebih mengambil berat terhadap keuntungan diri, bukannya kebajikan anda. Untuk keselamatan anda dan ketenangan minda, ebih baik anda mencari jalan keluar daripada situasi tersebut, dan memohon pinjaman peribadi di tempat lain.
Adakah anda mengalami situasi yang sama?
Jika anda telah menjadi mangsa syarikat pinjaman yang menggunakan taktik mengancam dan menuduh palsu untuk memaksa anda membuat bayaran, anda boleh membuat laporan dengan KPKT dan dengan pihak polis. Kami juga meminta anda mengongsikan cerita anda dalam Kumpulan FB kami, Awas Scam Malaysia, di mana kita bersama cuba meningkatkan kepekaan terhadap scam-scam yang sedang dijalankan di Malaysia.
Sedang mencari pinjaman peribadi yang sah dan selamat? Layari www.ipinjamanperbadi.com.my sekarang!.
Indri
Saya nak tanya kalau warga indonesia pinjam boleh ke?? Saya dah ajukan pinjaman kate boleh tapi kena bayar uang fee 150 itu betul ke??
iPP
Hai, harap maaf, syarikat pinjaman berlesen yang disenaraikan di IPP hanya menawarkan pinjaman peribadi kepada warganegara Malaysia sahaja. Selain itu, kami tidak menggalakkan sesiapa membayar bayaran pendahuluan kepada syarikat pinjaman sebelum menerima duit pinjaman.