Kebanyakan negeri di Malaysia telahpun diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disebabkan bilangan kes yang kini meningkat di seluruh negara. Semasa PKP kali pertama, kerajaan Malaysia telahpun memberi rakyat pelbagai jenis bantuan kewangan, seperti bantuan PRIHATIN, tempoh moratorium di mana ansuran pinjaman tidak perlu dibayar tanpa dikenakan faedah atau caj tambahan, diskaun bil elektrik, dan sebagainya. Namun, kebanyakan saluran bantuan kewangan tersebut telahpun tamat tempohnya, dan kini dalam tempoh PKPB lagi, ramai rakyat Malaysia yang merisaukan keselamatan kewangan diri dan keluarga. Walaupun ia mungkin nampak seperti bantuan kewangan daripada kerajaan adalah kurang berbanding PKP kali pertama, ini adalah tanggapan salah yang telah dibetulkan oleh Bank Negara Malaysia. Berikut adalah 6 tanggapan salah mengenai bantuan kewangan selama PKPB kali ini.
1. Moratorium menyeluruh sudah tamat, sekarang semua dibebani bayaran hutang walaupun PKPB
Tempoh moratorium automatik secara menyeluruh memang sudah tamat, namun sekarang, moratorium dilaksanakan secara bersasar. Sebenarnya, setiap orang yang memerlukan pelanjutan tempoh moratorium boleh menghubungi bank mereka untuk menyelaraskannya. Tambah lagi, setiap pelan penyelesaian hutang boleh diubahsuai supaya memenuhi keperluan penghutang.
2. Bantuan bayaran pinjaman hanya dinikmati oleh golongan B40
Sebenarnya, semua orang yang terjejas sebagai akibat pandemik COVID-19 layak menerima bantuan kerajaan dalam bentuk moratorium, kurangan kadar ansuran dan lanjutan tempoh pinjaman, dan penukaran kepada kemudahan pinjaman lain. Hal ini boleh diuruskan melalui bank yang menawarkan pinjaman anda.
3. Susah sangat nak mendapatkan bantuan, bank meminta banyak dokumen
Dokumen yang diperlukan berbeza mengikut kategori pemohon. Contohnya, golongan B40 dan pemilik pengusahaan mikro tidak perlongu menampilkan apa-apa dokumen pun apabila menyelaraskan hutang dengan bank. Golongan M40 dan pemilik pengusahaan kecil ataupun sederhana (SME) pula memerlukan dokumen ringkas sahaja untuk memohon.
4. Proses permohonan ambil lama sangat, PKPB akan berakhir sebelum dapat lulus
Tempoh pemprosesan yang diberikan oleh Bank Negara adalah jelas – bagi penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pemilik perusahaan mikro, permohonan akan diproses dengan cepat, iaitu dalam masa 24 jam. Bagi penerima Bantuan Prihatin Negara (BPN) pula, permohonan akan diproses dalam masa 5 hari. Manakala bagi pengusahaan SME, boleh mengambil masa sebanyak 14 hari untuk diproses.
5. Bantuan sedikit sahaja, tak cukup untuk menampung hutang
Bantuan yang diberi secara duit tunai pasti tidak cukup untuk menampung hutang dan pembelanjaan harian sepanjang tempoh PKPB yang tak berakhir-akhir ini. Namun, anda boleh juga membincang dengan bank anda untuk mendapatkan bantuan tambahan, iaitu dalam bentuk moratorium, kurangan kadar ansuran dan lanjutan tempoh pinjaman, dan penukaran kepada kemudahan pinjaman lain. Kalau strategi ini pun tidak mencukupi, anda boleh menghubungi AKPK untuk bantuan lanjut menyelaraskan hutang anda sepanjang tempoh PKPB.
6. Rekod CCRIS akan terjejas jika memohon bantuan bayaran balik pinjaman
Bank Negara telah mengisytiharkan bahawa semua permohonan Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar sebelum 30 Jun 2021 tidak akan dipaparkan dalam rekod CCRIS anda. Jadi, anda tidak perlu risau – kebolehan anda memohon untuk pinjaman pada masa depan akan kekal kukuh walaupun anda mendapatkan bantuan untuk mengharungi tempoh PKPB ini.
Pandemik COVID-19 ini memang membawa musim yang amat merisaukan bagi rakyat Malaysia yang terpaksa mengikat perut untuk mengatasi masalah kewangan dengan keadaan ekonomi yang semakin merosot. Namun, dengan bantuan kewangan selama PKPB yang diberikan oleh kerajaan Malaysia dan kredit komuniti seperti pinjaman berlesen, kita pasti dapat mengharunginya bersama-sama.