Malaysia kini telah berada di fasa ke-3 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP Fasa-3). Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini adalah bertujuan untuk memutuskan rangkaian wabak penyakit Covid-19.
Ini bermakna, kebanyakan daripada kita tidak boleh keluar untuk pergi bekerja, keluar berjalan-jalan di ‘shopping mall’, beriadah dan sebagainya.
Kita juga sedia maklum, impak daripada penularan pandemik covid-19 ini, ekonomi dunia dan negara amat terjejas. Namun, bukan sahaja ekonomi dunia dan negara sahaja, ekonomi untuk keluarga kita juga turut terjejas. Mungkin di antara kita ada yang di buang kerja, gaji di potong separuh atau tidak mendapat gaji langsung.
Tetapi, kita perlu bersyukur kerana kita berada di bumi Malaysia kerana kerajaan telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin untuk semua lapisan masyarakat di seluruh negara. Bak kata Perdana Menteri kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam perutusan khas menyatakan “Sama ada anda pemandu teksi, pemandu Grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual goreng pisang, penjual burger, pekerja harian, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan anda semua beroleh manfaat. Insya-ALLAH, no one will be left behind (tidak akan ada yang tertinggal)”.
Walaubagaimanapun, walaupun kita telah menerima bantuan daripada kerajaan, kita perlu sedar bahawa sikap berjimat cermat haruslah ditanamkan kerana kita tidak tahu apa akan jadi pada masa hadapan. Kita perlu bersiap sedia dari sekarang jika kita menghadapi kesukaran di masa kelak, kita dapat menghadapinya dengan mudah kerana kita telah bersedia dari awal.
Oleh itu, berikut adalah dikongsikan beberapa cara yang mudah untuk berjimat yang boleh dipraktikkan sewaktu kita menghadapi krisis Covid-19 dan saat yang sukar ini.
# Cara berjimat yang pertama : Agihkan wang pendapatan
Lakukan pengagihan pendapatan kita untuk perkara penting seperti membeli barangan dapur serta keperluan rumah. Selain itu, agihkan juga sebahagian pendapatan untuk barang keperluan tambahan kesihatan seperti ubat-ubatan, hand sanitizer, topeng muka dan sebagainya.
Namun, adalah diingatkan untuk tidak membuat pembelian panik kerana ia akan membuatkan kita berbelanja melebihi bajet dengan membeli barangan yang sebenarnya langsung tidak diperlukan.
Kerajaan juga telah memberi jaminan bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh PKP dan pasar raya akan dibuka seperti biasa.
# Cara berjimat yang kedua : Rancang perbelanjaan sebelum keluar membeli barangan keperluan
Walaupun pengagihan pendapatan telah dilakukan untuk barangan keperluan, namun kita haruslah bijak merancang pembelian kita supaya tidak membeli barangan secara berlebihan.
Sebelum kita keluar ke pasaraya, kita perlulah membuat senarai barang yang perlu di beli. Salah satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan menyenaraikan barang yang telah habis di rumah sebagai contoh sayur-sayuran, buah-buahan, roti, telur kerana barangan seperti ini selalunya akan habis cepat sekiranya kita kerap memasak di rumah di dalam tempoh PKP ini.
# Cara berjimat yang ketiga : Jangan atau Elakkan membuat ‘online shopping’
Dalam waktu PKP ini sememangnya ramai di antara kita akan selalu melayari media sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya. Begitu juga bagi para peniaga. Mereka dijangka akan membuat jualan besar-besaran seperti memberi potongan harga sehingga 90% secara dalam talian.
Oleh itu, alangkah baiknya jika kita boleh menahan atau mengawal diri kita daripada membeli barangan secara dalam talian. Ini bagi mengelakkan kita daripada pembelian yang membazir.
Namun yang paling penting dapat mengelakkan kita daripada terkena penipuan dalam talian ketika pembelian dalam talian.
# Cara berjimat yang keempat : Menabunglah untuk masa depan.
Kebanyakan bank menawarkan Moratorium iaitu penangguhan rasmi bayaran ansuran bulanan daripada membayar kepada pihak bank tanpa caj penalti atau denda sempena wabak Covid-19 ini selama 6 bulan.
Jadi, dengan penangguhan ini kita boleh menyimpan wang ansuran bulanan tersebut untuk kegunaan pada waktu kecemasan nanti dan ingat jangan gunakan wang ini untuk berjoli dan sebagainya.
Selain itu, kita juga boleh menyimpan 20% – 30% daripada pendapatan kita untuk simpanan pada masa hadapan.
Jadi diharapkan dengan beberapa cara yang telah dikongsikan sebentar tadi dapat membantu anda untuk berjimat dalam waktu kita sedang mengharungi penularan wabak Covid-19 dan tempoh PKP ini.
Akhir kata, duduklah di rumah untuk membantu memutuskan rangkaian penularan pendamik Covid-19 ini. Jalankan tanggungjawab kita kepada negara.