Ketika pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia, ramai yang telah hilang sumber pendapatan. Oleh itu, pihak kerajaan telah mengambil inisiatif untuk membantu rakyat yang terjejas. Maka, i-Sinar telah diperkenalkan selain i-Lestari.
Apakah i-Sinar? Rujuk di pautan ini : https://isinar.kwsp.gov.my/
i-Sinar merupakan kemudahan untuk Ahli KWSP yang terjejas dalam tempoh krisis COVID-19 bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.
Pada awalnya, kerajaan telah menghadkan kepada 2 kategori yang benar-benar terjejas sahaja termasuk golongan surirumah dan golongan yang telah mengalami pengurangan pendapatan. Namun, semua syarat untuk kedua-dua kategori telah dimansuhkan dan ini telah memberi kelulusan kepada hampir semua permohonan.
Akantetapi, walaupun hampir semua pencarum dibenarkan untuk mengeluarkan simpanan KWSP mereka, namun mereka haruslah bijak menggunakan wang kemudahan yang telah diberikan oleh kerajaan.
Berikut adalah 4 penggunaan bijak yang boleh dilakukan menggunakan wang i-Sinar:
#1: Bayar Hutang
Sekiranya permohonan i-Sinar telah diluluskan dan telah dikreditkan kepada akaun kita, perkara yang paling penting yang kita boleh lakukan ialah jelaskanlah hutang yang sedia ada. Perkara ini paling penting yang ditekankan oleh ramai penasihat kewangan. Tidak kira sama ada hutang dengan pihak bank, hutang PTPTN, hutang perniagaan atau peribadi, bukan sahaja ia jimat faedah malah hidup kita akan lebih tenang sekiranya bebas hutang.
#2: Membuat simpanan kecemasan
Simpanan kecemasan merupakan dana yang disimpan yang akan membantu kita Ketika memerlukannya seperti untuk perbelanjaan yang tidak dijangka. Setiap orang mungkin menghadapi kejadian yang tidak dijangka dalam hidup mereka. Mungkin saja, kita tidak tahu sama ada kita sudah bersedia untuk menghadapinya apabila ia berlaku. Semakin berusia, semakin banyak masalah yang kita bakal hadapi. Semasa ekonomi meleset, dana kecemasan menjadi semakin penting kerana risiko dibuang kerja lebih tinggi.
#3: Pelaburan risiko rendah
Pengeluaran i-Sinar juga boleh dilaburkan untuk menjamin masa depan yang lebih cerah. Ianya boleh berfungsi sebagai dana pendidikan anak atau dana persaraan. Walaubagaimanapun, kita perlu memastikan pelaburan tersebut selamat dan berisiko rendah. Janganlah kita menceburi pelaburan yang berisiko tinggi dan skim cepat kaya. Pelaburan selamat yang disyorkan adalah pelaburan dalam hartanah, unit trust dan juga amanah saham.
#4: Tambah ilmu / kemahiran
Kita juga boleh membelanjakan wang pengeluaran i-Sinar dengan mengambil kursus kemahiran yang kita sukai. Kemahiran yang kita perolehi boleh membantu kita untuk memulakan langkah menjana pendapatan sampingan. Pada masa sekarang, banyak agensi kerajaan menawarkan pelbagai kursus jangka pendek yang perlu direbut. Yuran yang dikenakan juga berpatutan. Maka, tidak salah kita belanjakan sedikit wang i-Sinar itu untuk tambah kemahiran dan pengetahuan seterusnya ia dapat bantu kita memperoleh pendapatan dari sumber lain.
Akhir sekali, dengan penjelasan yang ringkas ini diharapkan dapat memberi idea kepada setiap pencarum supaya lebih bijak menggunakan wang pengeluran i-Sinar dan memanfaatkan kemudahan yang telah diberikan oleh pihak kerajaan.