Moratorium 2021: Segala Yang Anda Perlu Tahu

Moratorium 2021
Share Artikel ini!

Minggu lepas, kerajaan telahpun mengumumkan pakej PEMULIH, iaitu pelan bantuan untuk rakyat Malaysia bagi mengatasi masalah kewangan dalam tempoh PKP ini. Termasuk dalam pakej PEMULIH itu adalah pemberian moratorium pinjaman untuk 6 bulan, iaitu pilihan untuk menunggakkan bayaran ansuran pinjaman sampai tahun depan. Ini akan meringankan beban kewangan untuk peminjam, dan membolehkan mereka menyalurkan duit yang ada kepada kerperluan harian dan pembelanjaan lain yang mendesak. Moratorium ini bunyinya sedap – kan seronok tak perlu membayar hutang untuk 6 bulan? Namun, keputusan untuk mengambil moratorium ini perlu diambil dengan serius. Berikut adalah segala yang anda perlu tahu tentang moratorium 2021.

1. Semua orang layak untuk mengambil moratorium 2021

Kerajaan mengumumkan bahawa pihak bank telah bersetuju untuk memberi moratorium kepada sesiapa yang ingin mengambilnya, tidak kira status kewangan, pekerjaan, jumlah pinjaman, dan sebagainya.

2. Anda perlu memohon untuk moratorium jika ingin mengambilnya

Moratorium ini bukannya sesuatu yang diberi secara automatik. Jika anda memerlukan moratorium tersebut, anda perlu memohonnya melalui bank anda. Permohonan dibuka hari ini, iaitu 7 Julai 2021. Selepas anda memohon, permohonan anda akan diluluskan secara automatik dalam masa 5 hari – tiada dokumen atau langkah lain yang perlu diambil. Namun, anda perlu mengambil langkah pertama itu dan menghubungi bank anda hari ini untuk mengaktifkan moratorium itu.

3. Jika anda mengambil moratorium tersebut, jumlah bayaran pinjaman anda akan naik juga akhirnya

Walaupun anda tidak diperlukan untuk membayar apa-apa dalam 6 bulan moratorium, faedah masih dikenakan ke atas jumlah pinjaman yang belum diselesaikan. Berdasarkan kadar faedah bulanan anda, jumlah faedah tambahan ini mungkin boleh tinggi ataupun rendah; namun, faedah tambahan itu tetap ada juga. Pihak bank telahpun bersetuju untuk tidak mengenakan faedah kompaun ataupun caj tambahan dalam tempoh moratorium ini. Walaubagaimanapun, pada akhir hari, anda akan perlu bayar juga 6 bulan faedah tambahan itu.

4. Anda tidak semestinya mengambil moratorium itu

Walaupun layak, anda tidak semestinya mengambil moratorium tersebut. Jika anda masih bekerja penuh masa dengan sumber pendapatan yang stabil, dan anda mempunyai penyimpanan yang mencukupi untuk menangani apa-apa kecemasan, lebih baik jika anda mengabaikan sahaja moratorium tersebut dan terus membuat bayaran bulanan pinjaman seperti biasa. Dengan ini, anda boleh mengelakkan faedah tambahan yang dikenakan dan menjimatkan duit pada jangka masa yang panjang. Walaubagaimanapun, jika anda merupakan seorang yang telah kehilangan pekerjaan ataupun sumber pendapatan anda terjejas sepanjang tempoh ini dan anda tidak mempunyai simpanan cukup untuk menangani kecemasan yang mungkin berlaku, moratorium tersebut adalah pilihan terbaik untuk menangani aliran tunai bulanan anda dan memastikan anda mempunyai duit yang mencukupi untuk sara hidup anda.

5. Anda boleh mengambil moratorium separuh

Jika anda masih mempunyai sumber pendapatan tetapi tidak mampu membayar ansuran pinjaman dengan sepenuhnya, anda boleh memilih untuk mengurangkan bayaran bulanan untuk 6 bulan ini mengikut kemampuan anda untuk membayar. Anda hanya perlu menghubungi bank anda dan membincangkan jumlah bayaran baru untuk 6 bulan ini. Dengan ini, anda boleh menikmati moratorium sambil mengurangkan faedah tambahan yang dikenakan akibat pengambilan moratorium itu.

6. Keputusan anda untuk mengambil moratorium tidak akan memberi kesan kepada skor CCRIS anda

Anda tidak perlu risau tentang skor CCRIS anda jika anda berputus untuk mengambil moratorium penuh atau separuh. Bank Negara Malaysia telah mengumumkan bahawa semua bantuan pinjaman yang diambil dalam tempoh ini tidak akan memberi apa-apa kesan kepada skor CCRIS anda, dan tidak akan merumitkan permohonan anda untuk pinjaman pada masa depan.

Jika anda memerlukan bantuan ataupun anda mengalami masalah berhubung dengan bank anda, anda boleh merayu kepada Bank Negara melalui portal Telelink BNM.


Share Artikel ini!

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>