Ingin Melabur Saham? Tunaikan 3 Syarat Ini Sebelum Bermula!

Ingin Melabur Saham 3 Syarat
Share Artikel ini!

Hari-hari, kita dengar khabar tentang orang yang berjaya menggandakan pendapatan mereka melalui pelaburan yang bijak. Mungkin kawan-kawan anda amat teruja dengan skim pelaburan yang baru mereka jumpa, dan asyik menjemput anda masuk skim tersebut bersama-sama. Apa sekali sebabnya, anda pasti akan berasa terpikat untuk masukkan duit anda ke dalam pelaburan dengan harap mendapatkan keuntungan yang lebih daripada faedah kecil yang diberikan oleh akaun simpanan kebanyakan bank.

Konsep pelaburan ini memang boleh menjadi langkah yang bijak, jika dilaksanakan dengan cermat dan berhati-hati. Setiap pelaburan datang dengan risiko sendiri, memang tidak wujud skim pelaburan yang dikira 100% bebas risiko (jika terdapat orang yang cuba menjanjikan anda skim yang bebas risiko, awas-awaslah – kemungkinan besar skim tersebut adalah scam). Oleh itu, terdapat beberapa syarat yang patut anda tunaikan sebelum boleh senang hati masukkan duit anda ke dalam skim pelaburan.

Syarat 1: Anda mengasingkan duit berjumlah purata pembelanjaan 6 bulan sebagai tabung kecemasan

Ambil masa seketika untuk mengira jumlah pembelanjaan purata bulanan anda, termasuk bayaran bil, hutang, bayaran pinjaman peribadi, pembelanjaan harian, dan sedikit ekstra untuk pembelanjaan kualiti hidup (seperti makan luar, hiburan, etc). Seterusnya, gandakan jumlah purata bulanan tersebut dengan 6.

Contoh: Purata pembelanjaan bulan RM1200 x 6 = 7200

Jumlah ini merupakan jumlah minima yang patut anda kekalkan dalam akaun simpanan secara selamat sebelum mula berfikir nak melabur pun. Hal ini kerana kebanyakan skim pelaburan tidak membolehkan anda mengeluarkan duit anda dengan senang – mungkin anda terpaksa menunggu harga naik sebelum menjual saham tanpa kerugian, ataupun anda mungkin dikenakan penalti jika cairkan perlaburan anda terlalu awal. Jadi, jika apa-apa kecemasan berlaku e.g. anda hilang kerja, ditimpa kemalangan, dan sebagainya, anda selamat ada duit mencukupi untuk membiayai kos hidup untuk 6 bulan tanpa terdesak mencari duit ataupun kehilangan pelaburan anda sebab kena cepat mencairkan duit yang diikat dalam skim tersebut.

Syarat 2: Anda sudah cermat memperuntukkan duit untuk simpanan jangka panjang

Apabila kita memikirkan pelan kewangan, kita harus juga merancang untuk jangka panjang, terutamanya jangka masa selepas bersara. Untuk rancangan terma panjang begini, kita tak boleh sahaja harapkan skim yang menjanjikan untung cepat, malah perlu melaburkan duit ke dalam skim simpanan yang berisiko rendah sambil menjanjikan faedah stabil. Contohnya, akaun KWSP, Amanah Saham Bumiputera (ASB), ataupun Private Retirement Scheme (PRS).

Akaun-akaun seperti ini direka bentuk untuk menggalakkan simpanan jangka panjang dengan memberikan anda kadar faedah tinggi (biasanya melebihi 6%) dan mengehadkan usia minima 55 tahun untuk mengeluarkan kebanyakan duit dalam akaun tersebut. Dengan ini, anda akan dijamin sejumlah duit selepas bersara untuk membiayai kos hidup jika anda tidak lagi dapat gaji.

Bagi ramai orang yang bekerja penuh masa, majikan akan terus masukkan duit ke dalam Akaun KWSP anda; namun, anda boleh memilih peratus gaji yang anda masukkan ke dalam akaun tersebut. Jika anda berniaga sendiri ataupun dibayar gaji tunai, anda tidak akan mengumpulkan KWSP secara automatik. Walaubagaimanapun, anda digalakkan untuk mengekalkan tabiat masukkan duit ke dalam akaun seperti ini (ASB ataupun PRS pun ok). Hanya apabila status kewangan masa depan anda sudah dijamin, baru anda boleh berfikir untuk melaburkan duit ke dalam skim jangka pendek atau sederhana seperti saham.

Syarat 3: Belajar betul-betul sebelum melabur

Jangan sesekali membeli saham atau masuk skim pelaburan hanya kerana kawan anda pun masuk, ataupun terlalu terpikat dengan jurujual mahir yang menjanjikan anda keuntungan lumayan. Jika anda tidak pernah melabur saham, belajarlah dahulu dengan membaca buku atau menghadiri kursus supaya anda boleh maju dengan keyakinan dan membuat keputusan yang baik. Pastikan anda peka terhadap caj-caj yang berkaitan dengan skim pelaburan tersebut, dan jika anda membeli saham syarikat, kajilah dulu tentang arah syarikat tersebut dan pelan untuk masa depan.

Dengan menunaikan 3 syarat ini, anda pun sedia untuk masuk dunia pelaburan saham! Semoga Berjaya!


Share Artikel ini!

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>