4 Cara Untuk Menguruskan Hutang

Pengurusan Hutang
Share Artikel ini!

Sebelum kita bermula, marilah kita sama-sama hayati apa yang dimaksudkan dengan peribahasa di bawah ini:

Peribahasa:
Hutang biduk belum langsai,
Hutang pengayuh datang pula.

Bermaksud:
Hutang yang dulu belum dibayar, sudah berhutang lagi.

Hutang. Apa itu hutang?
Hutang boleh didefinisikan sebagai meminjam wang atau sesuatu benda daripada orang lain atau sesuatu organisasi. Pasti ramai yang pernah atau sedang berhutang namun pasti ramai yang susah untuk menguruskan hutang masing-masing.

Oleh itu, di sini kami ingin kongsikan beberapa langkah yang boleh dipraktikkan untuk menguruskan dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah hutang.

Langkah pertama: Hentikan daripada membuat hutang baru
Langkah ini adalah yang paling penting perlu dilakukan terutamanya melibatkan hutang kad kredit. Segala pembelian yang ingin di buat seterusnya adalah hanya dengan menggunakan tunai. Sentiasalah sematkan kata-kata ‘I prefer cash’ di dalam pemikiran ketika ingin berbelanja dan sentiasa amalkan bersederhana. Jika terpaksa berhutang, itu bermaksud kita tidak mampu untuk memiliki barangan tersebut. Maka kita perlulah berusaha untuk menyimpan wang supaya dapat membeli barangan tersebut secara tunai.

Langkah kedua: Buat senarai hutang yang ada
Luangkan sedikit masa untuk senaraikan semua hutang-hutang yang kita ada untuk menyusun kembali hutang-hutang tersebut. Apakah jenis hutang yang kita miliki dan berapa nilai kesemuanya? Berapa jumlah ansuran bulanannya? Berapa lagi tempoh bayaran balik? Ada bercagar atau tidak? Mempunyai perlindungan atau tidak?

Apabila ada satu senarai semua hutang, kita boleh buat analisa dan mengira berapakah jumlah faedah yang akan kita bayar untuk menjelaskan hutang tersebut. Secara amnya, hutang yang dikenakan kadar faedah yang paling tinggi seperti hutang kad kredit adalah hutang yang paling membebankan. Oleh itu ambillah langkah untuk membayar hutang kad kredit dengan jumlah sebanyak yang mungkin dan dalam tempoh yang paling cepat. Jangan sekali-kali membayar lewat kerana kelewatan pembayaran akan dikenakan caj dan itu akan membebankan lagi keadaan kita.

Dengan senarai hutang yang telah dijadualkan mengikut kepentigannya ini, maka lebih mudahlah kita untuk menjalankan simulasi bagaimana hutang kita sebenarnya akan dapat dilunaskan lebih awal jika bayaran dibuat lebih daripada bayaran minima.

Langkah ketiga: Bayar hutang dengan lebihan wang
Lebihan wang boleh diperolehi daripada penjimatan bulanan yang telah dilakukan atau daripada bonus tahunan. Wang lebihan ini lebih untung untuk dibayar hutang supaya hutang cepat langsai dan kita tidak perlu lagi memikirkan lagi tentang hutang tersebut. Selain itu juga, kita juga boleh terinspirasi untuk menigkatkan mutu kerja kita supaya lebih komited untuk mendapatkan bonus tahunan yang banyak sekaligus boleh mempercepatkan kita untuk bebas hutang dan supaya hidup lebih sempurna dan Bahagia!

Langkah keempat: Cari dan buat pendapatan kedua (Kerja sampingan)
Pada asalnya, adanya hutang bukan kerana tidak cukup wang, tetapi ramai daripada kita tidak berupaya mengawal nafsu untuk memiliki sesuatu yang diluar kemampuan. Jadi, jika kita sudah mempunyai kesedaran untuk menguruskan hutang, maknanya kita sudah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatan yang tidak bermanfaat. Dengan itu, fikirkan cara bagaimana untuk bina pendapatan kedua dan hasil dari pendapatan ini gunakan sepenuhnya untuk membayar hutang-hutang yang sedia ada. Jangan pula dengan adanya wang tambahan ini kita mula memasang impian untuk membuat perkara yang merugikan termasuklah tukar kereta baru, shopping, melancong!

Justeru itu, diharapkan dengan perkongsian yang telah diberikan di atas dapat membantu kita semua untuk melangsaikan hutang dengan cepat dan mudah. Apa yang pentingnya di sini adalah tetapkan matlamat yang jelas bila ingin selesaikan hutang-hutang dan mulakan tindakan hari ini juga.
Semoga kita semua cepat bebas daripada kemelut hutang!


Share Artikel ini!

1 Comment

  1. Yang penting kita mesti ubah spending habit dan berdisiplin. Kalau tidak hutang akan bertambah berkali ganda sampai kita lemas dalam hutang.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>