Jika anda merupakan pemilik kereta, anda pasti sedar bahawa setiap tahun, beratus-ratus sehingga beribu-ribu ringgit perlu diasingkan untuk tujuan pembayaran insurans kereta. Namun, insurans kereta memang penting dan kita tiada pilihan untuk beli ataupun tidak. Undang-undang di Malaysia mewajibkan seorang pemilik kereta untuk memegang insurans kereta yang aktif sebelum cukai kenderaan boleh dibayar. Pendek kata, kereta anda tidak boleh dipandu tanpa insurans yang sah. Namun, tahukah anda bahawa terdapat cara-cara di mana anda boleh mengurangkan beban bayaran insurans kereta? Senang sahaja – bacalah artikel ini untuk mengetahui 4 cara mengurangkan bayaran insurans kereta anda.
1. Pandu dengan selamat
Jika anda berjaya mengelakkan kemalangan ataupun apa-apa kejadian di mana anda terpaksa menuntut duit daripada insurans anda, anda boleh menikmati “No Claim Discount”, iaitu diskaun yang dianugerahkan berdasarkan tempoh masa di mana tiada tuntutan insurans yang dilakukan dalam tempoh itu. Diskaun ini boleh naik setinggi 55% bagi kenderaan peribadi – jadi, jika jumlah bayaran insurans anda adalah RM2000, anda hanya perlu membayar RM900! Tambah lagi, jika anda mengalami kemalangan kecil sahaja (contohnya, calaran atau lekuk sahaja pada kenderaan, di mana kenderaan masih boleh dipandu dengan selamat), bandingkanlah kos membaiki kenderaan tersebut dengan kos kehilangan No Claim Discount anda. Jika nilai No Claim Discount anda adalah jauh lebih tinggi daripada kos membaiki kenderaan tersebut, mungkin lebih wajar untuk membayar sahaja kos bengkel tersebut tanpa membuat tuntutan insurans.
2. Pilih nilai liputan insurans anda
Jika anda memperbaharui insurans anda melalui ejen setiap tahun, pastikan anda semak balik nilai liputan yang dicadangkan dan bandingkan ke atas nilai kenderaan anda pada tahun tersebut. Nilai setiap kenderaan pasti menyusut tahun ke tahun, dan anda boleh menggunakan pelbagai kalkulator percuma online untuk mencari nilai kenderaan anda pada sesuatu tahun. Pastikan nilai liputan insurans anda bukanlah terlampau tinggi berbanding dengan nilai kenderaan anda. Anda boleh menyatakan nilai liputan yang diingini, dan jumlah bayaran insurans anda akan dilaraskan. Dengan ini, anda boleh menjimatkan beberapa ratus ringgit setiap kali membayar insurans kenderaan anda!
3. Pilih liputan tambahan dengan wajar
Setiap insurans kenderaan datang juga dengan opsyen insurance tambahan, contohnya insurans cermin hadapan, insurans banjir, dan sebagainya. Memang susah untuk anda menentukan kemungkinan untuk setiap kejadian yang boleh berlaku, namun jika anda benar-benar perlu menjimatkan duit daripada bayaran insurans anda, anda bolehlah mengambil keluar liputan yang kurang diperlukan. Contohnya, jika anda menggunakan kenderaan anda untuk panduan dekat sahaja dan tidak kerap menggunakan lebuh raya besar, risiko kerosakan cermin hadapan kereta anda adalah lebih rendah. Jika anda tinggal di kawasan yang tidak terjejas oleh banjir, ataupun selalu meletak kenderaan anda dalam tempat letak kereta aras tinggi, anda bolehlah mempertimbangkan mengambil keluar liputan banjir bagi insurans kenderaan anda. Namun, fahamilah bahawa jika apa-apa berlaku kepada kenderaan anda dan ia tidak diliputi oleh insurans, anda akan terpaksa menanggung kos membaiki kerosakan tersebut – jadi fikirkanlah dengan wajar sebelum membuat keputusan tentang liputan tambahan kenderaan anda.
4. Pilihlah kenderaan yang lebih murah untuk diinsuranskan
Kos insurans anda ditentukan oleh jenis kereta dan nilai semasa kereta tersebut. Jika anda mendapati bahawa bayaran insurans anda setiap tahun adalah punca pembaziran duit dalam bajet anda, anda bolehlah pertimbangkan tukar kepada kereta yang lebih menjimatkan dengan fungsi yang agak-agak sama. Contohnya, jika anda memandu sebiji Perodua Axia dari 2016, nilai liputan insurans anda pada tahun ini mungkin lebih kurang RM19,000. Bandingkannya dengan nilai liputan Honda Jazz dari 2016, iaitu RM43,000. Anda boleh mengurangkan kos bayaran insurans anda dengan separuh jika anda tukar kepada kenderaan yang lebih ekonomik.
Tanpa mengira kenderaan apa yang anda miliki, pandulah dengan cermat dan pastikan anda menyimpan insurans dengan secukupnya untuk melindungi status kewangan diri dan keluarga. Jika anda tidak mampu membayar kos bayaran insurans kenderaan, carilah pinjaman peribadi yang membolehkan anda membahagikan bayaran tersebut kepada ansuran bulanan yang lebih senang ditangani.