Hidup ini penuh dengan kejutan. Walaupun kita tidak dapat meramalkan bila kita menghadapi situasi yang tidak dijangka, namun kita boleh membuat persediaan dalam menghadapinya dengan cara menyediakan tabung kecemasan. Dengan adanya tabung kecemasan, anda tidak perlu risau untuk memikirkan cara untuk membayar segala bentuk hutang.
Walaupun sudah 4 tahun berlalu, wabak Covid-19 telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada semua pihak dan memberi kesedaran bahawa simpanan bukanlah semata-mata satu kemewahan, tetapi satu keperluan asas. Krisis global yang belum pernah berlaku sebelum ini telah mengajar kita bahawa simpanan berperanan sebagai satu talian hayat yang penting apabila berlaku situasi kecemasan yang tidak dijangka.
Sama ada anda kehilangan pekerjaan, dibebani kos perubatan yang tinggi, atau sebarang bentuk kecemasan, simpanan yang kukuh akan menjadi sumber sokongan utama untuk menghadapi situasi-situasi sebegini.
Kenapa Tabung Kecemasan Penting?
Situasi kecemasan boleh berlaku dalam beberapa bentuk contohnya secara fizikal atau mental. Keadaan ini bertambah buruk sekiranya anda juga sedang menghadapi masalah kewangan. Berikut merupakan 3 kelebihan mengapa anda perlukan tabung kecemasan:
1. Lebih bersedia
Penyediaan bajet membantu dalam pengurusan perbelanjaan dan mempersiapkan diri untuk situasi tidak dijangka. Ia memberikan jaminan kewangan dan membantu mencapai matlamat kewangan jangka panjang.
2. Dapat jimatkan duit
Tabung kecemasan membantu mengurus perbelanjaan tidak dijangka tanpa mengganggu matlamat kewangan. Ia melindungi matlamat jangka panjang tanpa perlu bergantung pada kad kredit atau meminjam duit, membolehkan anda menyimpan dan membina asas kewangan yang kukuh tanpa menambah beban hutang.
3. Berasa lebih tenang
Dengan menjaga kestabilan kewangan melalui tabung kecemasan, anda akan lebih yakin menghadapi cabaran tanpa rasa bimbang. Walaupun kita tidak dapat meramalkan situasi kecemasan, membina tabung kecemasan adalah langkah ideal untuk bersedia menghadapi kemungkinan memerlukan wang secara mendadak.
Langkah – langkah untuk Membina Tabung Kecemasan
1. Tetapkan Matlamat
Langkah pertama ialah menentukan jumlah yang anda mahu simpan dalam tabung kecemasan. Secara amnya, disarankan untuk menyimpan sekurang-kurangnya 3 hingga 6 bulan gaji sebagai tabung kecemasan. Jumlah ini boleh disesuaikan berdasarkan keperluan dan situasi kewangan anda.
2. Tetapkan bajet
Periksa pendapatan dan perbelanjaan bulanan anda. Tentukan berapa banyak wang yang boleh anda sisihkan setiap bulan untuk tabung kecemasan tanpa menjejaskan keperluan hidup anda.
3. Buka Akaun Khas
Anda dinasihatkan untuk membuka akaun simpanan yang khusus untuk simpanan kecemasan. Ini dapat memudahkan anda mengenal pasti simpanan yang diperuntukkan untuk kecemasan dan mengelakkan perbelanjaan yang tidak sepatutnya
4. Automatikkan Simpanan
Untuk memastikan anda menyimpan secara konsisten, pertimbangkan untuk menetapkan pemindahan automatik daripada akaun utama anda ke dalam tabung kecemasan. Ini memastikan anda tidak terlepas simpanan dan membuatkan proses lebih mudah.
5. Bermula nilai kecil, naikkan simpanan secara beransur-ansur
Menyimpan dalam jumlah besar pada awalnya mungkin mencabar. Oleh itu, mulakan dengan sedikit dan tingkatkan simpanan secara beransur-ansur mengikut keselesaan dan kewangan. Anda boleh mencapai simpanan yang besar dengan mengurangkan perbelanjaan tidak penting dan menyelaraskan bajet secara berkala.
Seperti pepatah Melayu, “sikit-sikit lama-lama jadi bukit,” tabiat menabung walaupun sedikit, tetapi secara berterusan, akan membolehkan simpanan bertambah dan membantu anda mencapai matlamat kewangan.
Kesimpulan
Membina tabung kecemasan adalah langkah penting dalam perancangan kewangan peribadi. Dengan persediaan yang baik, anda boleh menghadapi cabaran kewangan yang tidak dijangka dengan lebih yakin. Mulakan hari ini dan bangunkan tabung kecemasan anda untuk melindungi masa depan kewangan anda.