Sebagai pendahuluan, pinjaman peribadi adalah wang yang ‘dipinjam’ dari institusi kewangan dengan kadar faedah yang dipersetujui dalam tempoh tertentu. Namun, untuk mendapatkan pinjaman yang selamat, banyak yang perlu di ketahui. Bercakap mengenai membuat pinjaman peribadi di syarikat pinjaman wang berlesen, pastinya ramai di antara kita akan menganggap ia adalah pinjaman dengan Ah Long. Namun haruslah kita tahu perbezaan antara syarikat pinjaman wang berlesen dan Ah Long. Perbezaan yang paling ketara adalah dari segi kadar faedah yang dikenakan ke atas amaun pinjaman. Syarikat pinjaman wang berlesen, di bawah akta pemberi pinjaman yang ditetapkan oleh KPKT, hanya boleh mengenakan kadar faedah maksimum 18% ataupun 1.5% kadar bunga bulanan. Manakala kadar faedah yang dikenakan oleh Ah Long amat melampau tinggi sehingga mencecah 50% seminggu.
Banyak lagi perbezaan yang dapat kita pastikan. Mungkin akan diperincikan lagi di artikel yang lain. Walaubagaimanapun, jika kita telah bersetuju untuk membuat pinjaman di syarikat pinjaman wang berlesen, kita perlulah mengambil tahu untuk memastikan pinjaman yang kita buat adalah selamat.
Terdapat beberapa cara untuk memastikan pinjaman yang di buat adalah selamat:
1. Tiada pembayaran Deposit, Upfront Atau Wang Pendahuluan perlu dijelaskan
Penipu pemberi pinjaman kebiasaannya akan meminta Deposit, Upfront Atau Wang Pendahuluan daripada peminjam. Pelbagai alasan dan sebab yang mereka akan beri supaya mendapat wang tersebut. Antara alasan yang selalu di beri adalah untuk caj guaman, caj dokumen, caj proses dan caj runner. Namun, mungkin peminjam akan dikenakan caj seperti caj proses, caj setem duti, caj insurans dan sebagainya tetapi caj ini akan ditolak terlebih dahulu daripada jumlah pinjaman sebelum duit pinjaman dikreditkan ke akaun peminjam. Jadi, jika ada yang meminta bayaran tersebut sebelum memberi pinjaman, batalkan sahaja permohonan tersebut. Jika mereka ada mengugut akan mendakwa atau menuntut caj ganti rugi kerana peminjam tidak mengambil pinjaman yang dah lulus, tidak perlu risau selagi peminjam tidak menandatangani apa-apa dokumen dalam bentuk black & white.
2. Semak Kesahihan Syarikat Pemberi Pinjaman Wang (PPW) Berlesen
Sebelum membuat keputusan untuk membuat pinjaman dengan mana-mana syarikat pinjaman, semaklah dahulu status syarikat tersebut. Buatlah penyelidikan terlebih dahulu mengenai syarikat tersebut. Semak di mana syarikat tersebut, permit masih aktif atau tidak dan status lesen nya adakah mendaftar dengan KPKT atau tidak. Di laman web KPKT, Sistem eMAPS diperkenalkan untuk memudahkan peminjam membuat carian dan semakan berkaitan syarikat pinjaman wang berlesen di Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk di pautan ini : Sitem eMAPS KPKT
Jika syarikat tersebut adalah syarikat PPW yang berdaftar, maklumat syarikat tersebut akan dipaparkan oleh sistem eMAPS. Jika tiada maklumat, syarikat tersebut bukan syarikat PPW yang berdaftar. Dalam erti kata lain, mereka tipu atau lesen mereka telah tamat tempoh.
3. Tiada pinjaman tanpa faedah
Antara cara lain yang dapat dipastikan pemberi pinjaman menipu adalah melalui tawaran pinjaman tanpa faedah atau keuntungan di pihak pemberi pinjaman. Sebagai contoh adalah seperti tawaran ‘pinjam RM1,000, bayar RM1,000’. Ini bermakna, pihak pemberi pinjaman menawarkan pinjaman tanpa kadar faedah atau keuntungan. Umum mengetahui, setiap syarikat pemberi pinjaman adalah satu perniagaan dan sudah pasti mahukan keuntungan dari setiap pinjaman yang ditawarkan. Jadi, amat mustahil untuk sesuatu syarikat untuk memberi servis mereka tanpa mengharapkan keuntungan. Selain itu, jika ada syarikat pemberi pinjaman yang memberikan kadar faedah yang terlalu rendah, maka peminjam perlu juga berhati-hati. Mungkin itu juga adalah muslihat mereka untuk menipu.
4. Tiada paksaan untuk menandatangani perjanjian pinjaman
Apabila peminjam telah memohon pinjaman di syarikat pinjaman wang berlesen dan permohonan telah diluluskan, peminjam harus menandatangani perjanjian pinjaman. Perjanjian pinjaman amatlah penting bagi kedua-dua belah pihak sama ada peminjam mahu pun pemberi pinjaman. Ianya mengandungi semua butiran penting, serta terma dan syarat pinjaman secara terperinci supaya sekiranya ada sesuatu masalah berlaku di kemudian hari, terdapat bukti yang sukar untuk ditolak dan kepentingan kedua-dua pihak dapat dilindungi. Oleh itu, adalah penting untuk peminjam teliti dan baca dahulu isi kandungan perjanjian yang telah disediakan oleh pihak pemberi pinjaman. Jika peminjam tidak diberi peluang untuk baca isi kandungan perjanjian dan dipaksa menandatangani perjanjian tersebut, itu menandakan berkemungkinan peminjam akan ditipu melalui perjanjian yang berat sebelah. Perkara yang sering berlaku adalah apabila peminjam tidak sedar tentang kadar faedah yang mereka ambil adalah terlalu tinggi. Maka akhirnya terpaksa membayar jumlah pinjaman tersebut sehingga melebihi 10 kali ganda dari jumlah pinjaman.
Diharapkan dengan perkongsian ini, para pengguna boleh membuat rujukan sebelum membuat sebarang pinjaman. Namun, jika ada yang telah menjadi mangsa penipuan, janganlah panik. Laporkanlah kepada pihak polis dan beri keterangan supaya pihak polis boleh membantu jika terdapat penipuan dan juga melindungi diri dari sebarang ancaman. Setelah itu, dapatkan nasihat daripada penasihat kewangan supaya pengurusan kewangan peminjam menjadi lebih baik kerana apabila sudah ditipu dengan pemberi pinjaman, peminjam mungkin menghadapi masalah yang lebih teruk dalam menguruskan kewangan.
WAN HERDAYAT BIN WAN ABU BAKAR
Site untuk check Senarai pinjaman berlesen ni x boleh access.. Ada address lain ke
iPP
Hai, anda boleh memuat turun aplikasi KPKT iaitu i-KrediKom untuk menyemak status lesen syarikat pinjaman. Setakat ini tiada laman web baru yang telah menggantikan semakan eMaps KPKT yang digunakan sebelum ini.
Che pa
Saya ada buat pinjaman dengan satu PPW ni. No lesennya sah saya dah check di app ikredikom berdaftar dengan KPKT. Tetapi syarikat ini minta saya jelaskan dulu 6% cukai SST lepastu baru pinjaman boleh release. Adakah wajar dan munasabah prosedur seperti ini?
Dila
Berapa had pinjaman peribadi
Anonymous
Macam mana kalau nak cancel pinjaman yg kite buat sbb proses dia lama daripada yg dijangka?
Anonymous
Kita dah sign agreement,tp blom dpt pinjaman..kita nak cancel,boleh ke?
Anonymous
Nak tanya, kalau surat agreement (friendly agreement) tu ada nama company yang berlesen tapi masih minta bayaran pendahuluan, kita boleh percaya? Saya nak cancel tapi ada lawyer fee dan sudah tandatangan